Mahkamah Majistret di sini hari ini membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menahan reman 13 kontraktor bagi membantu siasatan berhubung tuntutan palsu melibatkan program sukan tiga tahun lalu.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 11 individu melibatkan 10 pegawai agensi penguat kuasa serta seorang pesara agensi berkenaan kerana disyaki terlibat rasuah bagi mempercepat proses permohonan program pemutihan pendatang asing menerusi Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK).

Menurut sumber, kesemua suspek melibatkan tujuh lelaki dan empat wanita berusia lingkungan 30 hingga 50-an ditahan di beberapa lokasi sekitar Lembah Klang menerusi Op Bleach dijalankan Bahagian Perisikan SPRM, hari ini.

“Kesemua suspek dipercayai menerima rasuah sebagai balasan bagi mempercepat permohonan pendatang asing yang berada di negara ini sebagai pekerja asing sah menerusi program RTK.

“Op Bleach ini adalah operasi susulan yang dijalankan SPRM berkait sindiket Counter Setting menerusi Op Rentas dan Op Dygo yang dijalankan baru-baru ini,” katanya.

Sumber berkata, susulan tangkapan itu juga, SPRM turut menyita wang tunai lebih RM116,000, 14 unit peranti telekomunikasi, barang kemas serta kepingan emas, tiga unit kereta serta dua unit motosikal.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Saiful Ezral Arifin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap suspek dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 17 Akta SPRM 2009.

Katanya, kesemua suspek akan di bawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya, esok pagi bagi permohonan reman. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast