KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor berjaya menumpaskan kegiatan pembekalan dan pemprosesan minyak enjin kenderaan disyaki tiruan dalam satu operasi khas sekitar Ampang dekat sini hari ini.
Pengarah KPDN Selangor, Mohd Zuhairy Mat Radey berkata, operasi sekitar 10 pagi itu dijalankan hasil risikan dan pemantauan selama dua bulan terhadap premis yang disyaki terlibat dalam kegiatan tersebut.
Serbuan dijalankan oleh 30 anggota penguat kuasa KPDN Selangor dengan kerjasama Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis (IPK) Selangor serta wakil cap dagangan relevan.
Melalui operasi berkenaan, sebanyak enam premis diserbu serentak dengan masing-masing mempunyai peranan yang berbeza-beza.
“Sejumlah enam premis terlibat dan dijalankan serbuan serentak kesemuanya adalah premis aktif yang berada berdekatan dengan satu sama lain.
“Premis pertama membuat botol, premis kedua memasukkan minyak kedalam botol, premis ketiga sebagai stor penyimpanan dan premis keempat sebagai stor penyimpanan minyak yang telah siap.
“Selain itu, premis kelima adalah stor penyimpanan produk alat ganti kenderaan dan akhir sekali adalah pejabat pengurusan,” katanya.
Melalui kenyataan beliau, kesemua premis beroperasi di bawah satu rangkaian sindiket yang dipercayai telah aktif sekurang-kurangnya enam bulan.
Modus operandi yang digunaka adalah memproses minyak enjin terpakai dan membotolkannya semula menggunakan jenama terkenal.
“Setakat ini, kita percaya minyak ini dipasarkan dalam negara dan dijual kepada pembekal serta bengkel dengan harga lebih murah daripada pasaran.
“Namun siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti rantaian pengedaran dan pihat yang terbabit,” ujarnya.
Selain itu, katanya, pasukan serbuan turut menahan 42 individu, terdiri daripada 14 warga tempatan dan 28 bukan warganegara berusia lingkungan bawah 45 tahun.
Mereka ditahan bagi membantu siasatan lanjut di bawah Akta Cap Dagangan 2019.
Jelasnya lagi, anggaran nilai rampasan mencecah RM1 juta yang melibatkan minyak enjin tiruan pelbagai jenama, barangan pengoperasian serta mesin pembuatan botol dan penutup.
Mohd Zuhairy menjelaskan, minyak terpakai yang dikitar semula berisiko menjejaskan prestasi dan keselamatan kenderaan dan pengguna dinasihatkan supaya berhati-hati dan tidak terpedaya dengan harga twaran yang murah. – MalaysiaGazette















