KUALA LUMPUR – Gerakan mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang dikenali sebagai Suara Siswa mendesak agar Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dimansuhkan dan digantikan sebagai Kesatuan Mahasiswa UiTM.
Dalam satu kenyataan, Suara Siswa mendakwa Kesatuan Mahasiswa UiTM ini lebih demokratik serta bebas daripada pengaruh pentadbiran universiti.
Tambah beliau, MPP kini tidak lagi berfungsi sebagai wadah penjuangan mahasiswa, sebaliknya telah menjadi suara pihak unversiti yang hanya bergerak dalam batas ditentukan pihak pengurusan.
“Kegagalan MPP untuk bersuara terhadap isu-isu mendesak seperti krisis kolej kediaman, tekanan kos sara hidup, serta penindasan terhadap suara pelajar menunjukkan sistem ini kehilangan makna asalnya.
“MPP bukan lagi suara mahasiswa, sebaliknya hanya gema daripada suara pihak universiti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Suara Siswa, sudah tiba masanya untuk struktur ini dimansuhkan dan digantikan dengan Kesatuan Mahasiswa UiTM yang lebih dimiliki, dikendali dan dipimpin oleh mahasiswa.
Selain itu, kesatuan pelajar turut berteraskan prinsip autonomi, kebebasan bersuara, dan solidariti kelas pelajar yang berbeza dengan MPP bergantung dengan kelulusan pentadbiran universiti.
Jelasnya, Kesatuan Mahasiswa UiTM mampu menjadi platform untuk mahasiswa berperanan secara kritikal dalam isu sosial dan politik, serta memperjuangkan kebajikan berdasarkan hak dan bukan sekadar simpati.
“Program seperti “MPP Care” menunjukkan bagaimana kebajikan mahasiswa kini dijadikan alat penjinakan.
“Kesatuan Mahasiswa harus memperjuangkan hak kebajikan, bukannya mengagih bantuan atas nama simpati,” ujarnya.
Dalam pada itu, Suara Siswa turut menyeru seluruh warga kampus untuk menilai semula peranan MPP dan menyertai usaha memperkukuh suara mahasiswa melalui ruang yang lebih bebas. – MalaysiaGazette
















