Seorang wanita warga tempatan yang cuba memohon Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) untuk kanak-kanak lelaki warga Sri Lanka. - Sumber Jabatan Imigresen Malaysia.

KUALA LUMPUR – Seorang wanita tempatan ditahan kerana cuba memohon pasport Malaysia untuk seorang kanak-kanak lelaki warga Sri Lanka di Pejabat Imigresen UTC Sungai Petani, Kedah semalam.

Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Kedah berkata, kanak-kanak lelaki tersebut didapati tidak dapat menjawab beberapa soalan asas berkaitan nama dan butiran diri seperti yang tercatat di dalam sijil lahir.

Tambahnya, kejadian tersebut menimbulkan keraguan antara pegawai imigresen yang kemudiannya menyoal wanita terbabit mengenai tujuan permohonan.

“Setelah itu, Pegawai Imigresen mendapati jawapan yang diberi mencurigakan dan kedua-duanya dibawa ke pejabat bagi siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hasil siasatan mendapati wanita itu tidak mempunyai sebarang pertalian darah dengan kanak-kanak berkenaan dan beliau mengaku telah berlatih selama dua minggu bagi mendapatkan pasport tersebut.

Wanita itu kini ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Sehubungan itu, Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Kedah menegaskan, permohonan pasport secara tidak sah adalah jenayah yang serius dan akan dikenakan tindakan seperi diperuntukkan undang-undang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast