Kenyataan media yang dikeluarkan oleh Zus Coffee berkenaan dengan isu pekerjanya. Sumber : ZUS Coffee

KUALA LUMPUR – ZUS Coffee membuat laporan polis berhubung insiden membabitkan seorang pelanggannya yang bertindak menyimbah minuman ke arah barista di salah satu cawangan syarikat itu, baru-baru ini.

Menurut kenyataan, laporan tersebut dibuat bagi memastikan keselamatan dan melindungi privasi pekerja terlibat yang dikenali sebagai Zurista.

“Zurista berkenaan masih menjadi sebahagian daripada ZUS Coffee dan kini sedang bercuti bergaji bagi memberi ruang untuk pulih daripada kejadian itu.”

“Kebajikan dan kesejahteraannya kekal menjadi keutamaan kami,” jelas kenyataan itu.

Menurut ZUS Coffee, pihaknya tidak bertolak ansur terhadap sebarang bentuk tingkah laku agresif dan memastikan semua premisnya kekal selamat untuk pelanggan dan pekerja.

Syarikat itu turut menegaskan akan memperkukuh latihan serta sistem sokongan dalaman bagi membantu pekerja mengendalikan situasi mencabar dengan lebih profesional dan berempati.

ZUS Coffee juga menyeru orang ramai agar tidak menyebarkan video atau gambar yang boleh mendedahkan identiti mana-mana individu.

“Tindakan itu boleh memberi kesan kepada kesihatan mental,” tambah kenyataan itu.

Sebelum ini, tular rakaman menunjukkan seorang pelanggan wanita ‘naik angin’ dan mengeluarkan kata-kata kesat sebelum menyimbah minuman ke arah barista

Dipercayai insiden itu berlaku kerana tidak berpuas hati dengan kelewatan penyediaan minuman.

Rakaman tersebut mencetuskan perdebatan di media sosial dengan kebanyakan netizen menyebelahi barista. – Malaysiagazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast