Onn Hafiz sebelum membentangkan Belanjawan Johor 2026 dalam sidang DUN di Bangunan Sultan Ismail, Iskandar Puteri, hari ini

ISKANDAR PUTERI – Johor menjadi negeri pertama di Malaysia memperkenalkan insentif khas kepada pengamal media di bawah inisiatif Bantuan Kasih Johor (BKJ).

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkannya semasa membentangkan Belanjawan Johor 2026.

“Kerajaan negeri memperuntukkan RM200,000 bagi pemberian tunai RM1,000 seorang kepada pengamal media yang berdaftar dengan Kelab Media Johor (KMJ).

“Inisiatif khas kepada pengamal media ini merupakan sebahagian daripada 23 komponen di bawah Bantuan Kasih Johor (BKJ) yang diperuntukkan lebih RM217 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap membentangkan Belanjawan Johor 2026 berjumlah RM2.55 bilion dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Sultan Ismail di sini.

Katanya, BKJ memanfaatkan lebih 330,000 rakyat daripada pelbagai lapisan termasuk anak yatim, ibu tunggal, petani, pesakit kronik dan warga emas.

“Langkah itu turut mencerminkan komitmen kerajaan negeri terhadap prinsip setiap sen hasil negeri dipulangkan kepada rakyat serta semangat Bangsa Johor,” katanya.

Tambahnya, pelaksanaan BKJ mencerminkan kasih sayang dan keprihatinan kerajaan negeri terhadap rakyat, selaras dengan agenda Maju Johor yang berteraskan kesejahteraan dan keadilan sosial.

Antara bantuan utama yang diumumkan ialah BKJ anak yatim negeri Johor, RM2,000 seorang dalam bentuk tunai dan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN), memanfaatkan 12,307 anak yatim dengan peruntukan RM24.6 juta.

“BKJ Ketua Isi Rumah Miskin Tegar dan Miskin, RM2,000 seorang untuk 9,714 penerima dengan peruntukan RM19.43 juta.

“BKJ Ibu Tunggal (YPKDT),RM500 seorang untuk 48,537 penerima dengan peruntukan RM24.27 juta.

“BKJ Petani, Penternak dan Nelayan, RM400 seorang untuk 33,976 penerima dengan peruntukan RM13.6 juta.

“BKJ Pesakit Kanser dan Dialisis, antara RM600 setiap seorang dengan peruntukan lebih RM7 juta,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast