JOHOR BAHRU – Perikatan Nasional (PN) mempersoalkan Belanjawan Johor 2026 yang dibentangkan hari ini sama ada rakyat benar-benar mendapat manfaat dan menyelesai masalah mereka termasuk terus dihimpit kos sara hidup tinggi.

Pengerusi PN Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, pihaknya melihat menerusi belanjawan surplus tersebut kekayaan negeri Johor masih belum diterjemahkan dalam bentuk kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.

“Walaupun Johor mencatat pertumbuhan ekonomi tertinggi di Malaysia sebanyak 6.4 peratus, realitinya ramai masih berdepan tekanan kos sara hidup, kekurangan peluang pekerjaan serta jurang pembangunan ketara antara kawasan bandar dan luar bandar.

“Belanjawan Surplus dan pertumbuhan ekonomi tidak bermakna jika rakyat biasa tidak merasai limpahan hasil negeri,” ujar bekas Menteri Besar Johor itu dalam kenyataan.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi hari ini membentangkan Belanjawan Johor 2026 berjumlah RM2.55 bilion iaitu tertinggi dalam sejarah negeri.

Mengulas lanjut, Dr Sahruddin berpendapat, bantuan menerusi belanjawan itu bersifat jangka pendek walaupun terdapat bantuan tunai yang banyak.

Jelasnya, pendekatan yang terlalu bergantung kepada bantuan tunai one-off adalah penyelesaian jangka pendek, bukan dasar jangka panjang untuk memperkukuh ekonomi rakyat.

Kerajaan negeri katanya, perlu memperluaskan dasar yang bersifat pemberdayaan (empowerment) seperti latihan kemahiran, pembangunan keusahawanan, dan penyediaan peluang pekerjaan supaya rakyat mampu berdikari dan tidak terus bergantung kepada bantuan sementara.

“Perkara kedua, Johor dilaporkan berjaya menarik pelaburan bernilai RM218 bilion dalam tempoh tiga tahun setengah. Namun, persoalan penting ialah sejauh mana peluang pekerjaan ini benar-benar dimanfaatkan oleh anak muda Johor sendiri?

“Ramai belia masih terpaksa mencari pekerjaan di luar negeri kerana gaji rendah dan kekurangan peluang di sektor berkemahiran tinggi,” ujarnya.

Justeru beliau menggesa agar dasar pelaburan Johor ditambah baik supaya pelaburan yang masuk membawa nilai tambah sebenar kepada ekonomi tempatan dan meningkatkan taraf hidup rakyat.

Selain itu katanya, sebahagian peruntukan dalam belanjawan itu tertumpu kepada aktiviti pentadbiran, promosi dan program imej kerajaan.

Sebagai pengimbang kepada kerajaan ujarnya, PN berpandangan bahawa setiap perbelanjaan mesti disemak secara berhemat agar tidak menimbulkan persepsi pembaziran atau kepentingan politik sempit.

Tegasnya yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor, rakyat berhak mengetahui ke mana arah setiap sen wang negeri dibelanjakan.

Beliau menyeru agar kerajaan negeri memastikan laporan pelaksanaan dan impak program dibentangkan secara terbuka, boleh diaudit dan mudah diakses rakyat.

Pihaknya mengalu-alukan peruntukan untuk pendidikan dan modal insan seperti Johor Skills, Kolej Universiti YPJ dan Transformasi Sekolah Rintis Bangsa Johor.

Namun kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong itu, isu sebenar yang perlu diberi perhatian ialah kebolehpasaran graduan serta peluang pekerjaan selepas tamat latihan.

“Kami menyarankan agar dasar pendidikan negeri Johor memberi penekanan kepada bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berasaskan industri sebenar, supaya pelajar dapat menyesuaikan diri dengan keperluan pasaran kerja semasa, khususnya dalam sektor teknologi, logistik dan ekonomi digital,” katanya.

Pihaknya turut menekankan keperluan untuk memastikan pembangunan negeri tidak hanya tertumpu di kawasan bandar utama.

“Ekonomi luar bandar termasuk pertanian, perikanan dan keusahawanan kecil mesti terus diberikan perhatian agar pembangunan Johor benar-benar inklusif dan seimbang.

“Johor tidak boleh terus membangun dalam angka dan bangunan, tetapi meninggalkan rakyat luar bandar yang masih bergelut dengan isu asas kehidupan,” ujarnya.

Secara keseluruhan katanya, belanjawan itu menunjukkan usaha positif untuk membantu rakyat, namun arah tuju pelaksanaan perlu lebih berpaksikan kesejahteraan jangka panjang dan peningkatan pendapatan sebenar rakyat.

Johor perlu bergerak ke arah ekonomi yang produktif dan berimpak tinggi, bukan hanya berasaskan bantuan sementara, katanya lagi.

Tambahnya, ketelusan dan kecekapan pengurusan bajet mesti menjadi prinsip utama dengan limpahan kekayaan negeri perlu dirasai semua lapisan rakyat, bukan hanya kelompok tertentu.

“Sebagai pengimbang kerajaan, kami akan terus memainkan peranan semak dan imbang (check and balance) dengan konstruktif, menyokong perkara yang baik untuk rakyat, dan menegur dengan berhemah terhadap perkara yang wajar diperbaiki.

“Kekayaan Johor adalah milik rakyat Johor, justeru biarlah setiap rakyat merasai nikmatnya, bukan sekadar membacanya dalam laporan belanjawan,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast