KUALA LUMPUR – Seramai 13 individu, termasuk seorang wanita, ditahan kerana berhimpun di hadapan Istana Negeri, Kubang Kerian, Kelantan pada Selasa lalu.
Ketua Polis Kelantan, Komisioner Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan daripada Balai Polis Kubang Kerian berhubung kejadian tersebut pada jam 11.40 pagi.
Tambah beliau, hasil siasatan mendapati kumpulan tersebut berada di sana kerana ingin menyerahkan beberapa barangan lama kepada pihak istana.
“Kesemua 13 individu berumur antara 26 hingg 67 tahun itu ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu untuk tindakan lanjut.
“Mereka kemudiannya dibawa ke hadapan Hakim Majistret untuk permohonan tahanan reman dan reman telah dibenrkan selama empat hari bermula 1 November,” katanya dalam kenyataan media.
Menurut Mohd Yusoff, ujian saringan awal air kencing mendapati lima orang di antara mereka adalah positif dadah.
Kes disiasat di bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan, dan Seksyen 7(1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, ujarnya.
Jelasnya, siasatan lanjut berhubung kejadian itu masih dijalankan. – MalaysiaGazette
















