KUALA LUMPUR – Dua mayat pendatang asing tanpa izin (PATI) ditemui semasa operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) bot karam di perairan sempadan Malaysia-Thailand sebelum ini.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, kapal Maritim Malaysia KM Tenggol menemukan satu mayat lelaki dewasa terapung di Perairan Teluk Apau.
Tambah beliau, mayat seterusnya diserahkan kepada bot PETIR 81 untuk dibawa ke jeti Maritim Malaysia dan diserahkan kepada pihak polis bagi siasatan lanjut.
“Manakala pada pukul 9.39 pagi tadi, Maritime Rescue Sub Center (MRSC) Langkawi menerima laporan daripada nelayan tempatan mengenai penemuan satu mayat kanak-kanak perempuan kira-kira 5.8 batu nautika dari Pulau Cupu.
“Susulan laporan itu, bot Fast Combat Boat (FCB) 1331 milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) diatur gerak ke lokasi untuk mengambil mayat berkenaan dan dibawa ke jeti bagi diserahkan kepada pihak polis,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Jelasnya, operasi Carilamat diteruskan hari ini melibatkan 180 pegawai dan anggota serta 12 aset pelbagai agensi penyelamat dengan tumpuan mengesan mangsa yang hilang.
Romli Mustafa berkata, kawasan pencarian pada hari ini meliputi 260.15 batu nautika persegi yang dibahagikan kepada 12 sektor pencarian. – MalaysiaGazette
















