Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Ahmad Yahya berucap pada Ceramah Mega Perikatan Nasional Dun Gurun sempena Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN15) Kedah di Dataran Caltex Pewaja, Gurun. Foto MOHD ADZLAN, 30 JULAI 2023.

KUALA LUMPUR – Pas Kedah menyokong langkah kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung isu kedudukan serta hubungan negeri itu dan Pulau Pinang dan menegaskan tidak akan sesekali berundur.

Pesuruhjayanya, Datuk Ahmad Yahya berkata, tuntutan Kedah itu adalah jelas yang mana nilai pajakan Pulau Pinang dan pemberian pampasan terhadap pengambilan sumber air mentah daripada Sungai Ulu Muda harus ada semakan dan timbal balik.

Ironinya, menurut beliau, beberapa wakil rakyat DAP berulang kali menyebutkan tentang soal kedaulatan Pulau Pinang sehingga lupa bahawa Kedah juga ada kedaulatannya.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan mengapa Kedah seolah-olah ditindas haknya selama ini.

Dalam masa sama, beliau turut merujuk dokumentasi sejarah yang ditulis oleh sarjana R. Bonney bertajuk “Kedah 1771-1821: The Search for Security and Independence” yang telah menghuraikan perkara itu dengan lebih cermat.

“Kesimpulan daripada beliau adalah pengambilalihan Francis Light dan Syarikat Hindia Timur pada 1786 adalah tidak sah.

“Pendudukan Francis Light di Pulau Pinang telah “melanggar undang-undang antarabangsa” malah telah dianggap “membohongi Sultan Abdullah” ketika itu.

“Adakah hari ini mereka masih mahu bercakap soal kedaulatan?

“Bagaimana dengan kajian R. Bonney bahawa pendudukan Francis Light di Pulau Pinang sebagai tidak sah justeru meletakkan kedudukan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri yang masih di bawah kedaulatan Negeri Kedah?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam masa sama, beliau turut merujuk tuntutan Kedah itu berdasarkan Perkara 167(7) Perlembagaan Persekutuan.

Perkara itu, jelasnya, menyebut Persekutuan hendaklah membuat pembayaran tahunan yang sama sebagaimana yang kena dibuat sebelum Hari Merdeka di bawah Perkara II Triti yang dibuat pada 6hb Mei 1869 antara Baginda Ratu pada satu pihak Raja Siam pada pihak yang satu berkenaan dengan Negeri Kedah.

Ujarnya, pajakan Pulau Pinang yang diterima oleh Kedah hari ini adalah RM10,000 iaitu pemberian wajib Persekutuan kepada negeri dan RM10 juta lagi tambahan yang bersifat pentadbiran.

Namun, tambahnya,dalam tempoh lebih 150 tahun lalu, tiada semakan dibuat terhadap nilai pembayaran pajakan tersebut.

“Apabila Kedah menyuarakan tentang hasrat ini, mereka kembali mengangkat alasan Pulau Pinang sebuah negeri yang berdaulat.

“Kerajaan Negeri Kedah kemudiannya mengambil langkah proaktif dengan membuat kajian menyeluruh semata-mata untuk menentusahkan kedaulatan sebenar Pulau Pinang.

“Maka, apa yang mereka begitu takutkan?

“Atau bimbang usaha “penghapusan etnik” Melayu di sana akan tergendala jika Kedah mengambil langkah yang lebih drastik?” soalnya.

Sebelum ini, Muhammad Sanusi memaklumkan, Kedah dalam fasa akhir memuktamadkan pelantikan pasukan guaman bagi memulakan tindakan perundangan berhubung isu kedudukan dan hubungan negeri itu dan Pulau Pinang.

Menurut beliau, langkah itu susulan keprihatinan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah yang menzahirkan keperluan supaya isu berkenaan dijelaskan secara telus termasuk perkara berkaitan pajakan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast