Fadillah Yusof

KUALA LUMPUR – Pemain global dan tempatan disaran bekerjasama dengan pengendali air serta pembetungan dan agensi kerajaan bagi memperkenalkan penyelesaian inovatif serta berdaya tahan terhadap perubahan iklim.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kerjasama rentas sektor amat penting untuk mempercepatkan peralihan Malaysia ke arah pengurusan air mampan sekali gus menjamin keselamatan sumber dalam jangka panjang.

Menurutnya, pengumuman bersama antara Amazon Web Services (AWS), Air Selangor, Indah Water Konsortium (IWK) dan kerajaan negeri Selangor hari ini membuktikan bagaimana penyelarasan antara kerajaan Persekutuan dan negeri serta penglibatan industri mampu memberi kesan nyata kepada masyarakat, industri dan negara.

“Kerjasama ini bersifat transformasi. Ia menjadi bukti bahawa apabila visi kerajaan Persekutuan diselaraskan dengan pelaksanaan di peringkat negeri, kita dapat membuka ruang kepada penyelesaian yang memberi impak sebenar kepada rakyat, industri dan negara.

“Inilah bentuk kerjasama yang kita impikan, apabila kerajaan dan industri bergerak seiring bagi menterjemahkan kelestarian daripada prinsip kepada pelaksanaan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengumuman Bersama Projek Bekalan Air Terawat Semula untuk Malaysia, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Air) PETRA, Datuk Mohd Rodzwan Mohd Baba Sakri; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Johary Anuar yang mewakili Menteri Besar Selangor dan Pengarah Operasi Pusat Data AWS Asia Pasifik, Jepun dan China, Dr. Saji PK.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, penggunaan air terawat semula untuk operasi awan (cloud) meletakkan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam infrastruktur digital mampan, di samping menyokong agenda nasional di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), Ekonomi Madani dan Transformasi Sektor Air 2040 (AIR 2040).

Beliau turut memaklumkan Malaysia merupakan negara kedua dalam rantau AWS merangkumi Singapura, Thailand dan Indonesia yang menggunakan air terawat semula, sekali gus menunjukkan kepimpinan negara dalam inisiatif kitar semula dan tanggungjawab iklim.

Bagi menyokong ekosistem tersebut, Fadillah berkata, kementeriannya sedang memperkukuh garis panduan, memudah cara proses permit dan membangunkan dasar menyeluruh air terawat semula selain pelan hala tuju bagi membantu industri beralih kepada sumber air mampan.

Beliau menambah, kerajaan turut memperkenalkan laluan bagi pemain industri termasuk pusat data dan sektor strategik lain untuk mengakses tenaga hijau melalui mekanisme seperti Skim Bekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS), Tarif Elektrik Hijau (GET) dan tenaga solar bumbung di bawah skim penggunaan sendiri. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast