Gejala mat rempit pada cuti hujung minggu memenuhi lebuhraya sekitar Lembah Klang ketika tinjauan lensa Malaysiagazette di sekitar Tol Puchong Barat, Selangor. Foto MALAYSIAGAZETTE, 04 MEI 2025.

Oleh: Prof. Madya Ts. Ir. Dr. Nur Izzi Md Yusoff

FENOMENA mat rempit terus menjadi cabaran keselamatan dan sosial paling meruncing di negara kita. Walaupun bertahun-tahun lamanya pelbagai operasi, kempen dan tindakan penguatkuasaan telah dijalankan oleh pihak berkuasa namun isu ini tetap berulang, seolah-olah ianya telah berakar umbi dalam budaya dan gaya hidup segelintir belia.

Perlumbaan haram dan aksi motosikal berbahaya bukan lagi aktiviti terpinggir di suatu lokasi gelap pada waktu malam, sebaliknya semakin kerap muncul di lebuh dan jalan raya utama, kawasan perumahan dan laluan yang sibuk. Kekerapan kejadian tragis yang meragut nyawa serta menjejaskan keselamatan awam menjadikan isu ini tidak boleh lagi dianggap remeh.

Sebahagian besar mat rempit ini terdiri daripada belia yang berumur di antara 15 hingga 30 tahun. Bagi ramai di antara mereka, motosikal bukan sekadar alat pengangkutan, tetapi simbol kebebasan, identiti dan ruang mencari pengiktirafan. Ada yang bekerja sebagai penghantar makanan, mekanik ataupun pelajar, tetapi di jalan raya mereka merasakan seolah-olah mempunyai kuasa tersendiri.

Aksi seperti ‘wheelie’, ‘superman’ dan ‘zig-zag’ dilakukan tanpa memikirkan risiko, seolah-olah hidup mereka tiada nilai. Dalam dunia media sosial pula, setiap aksi berbahaya dirakam dan dikongsi demi meraih tontonan, pujian serta pengesahan dari rakan sebaya.

Namun kebebasan yang dicita itu hadir dengan harga yang sangat mahal. Negara kita telah merekodkan lebih 6,000 kematian jalan raya setiap tahun, dengan purata 18 nyawa terkorban setiap hari. Fakta lain, lebih 60 peratus daripadanya melibatkan penunggang motosikal dan majoritinya ialah lelaki muda, kelompok yang sama yang sering dikaitkan dengan budaya rempit.

Data dari Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) turut mencatatkan kelajuan yang berlebihan, pelanggaran peraturan dan hilang kawalan merupakan punca utama kematian mereka yang bermotosikal. Ciri-ciri ini jelas menggambarkan tingkah laku melulu yang sinonim dengan mat rempit. Lebih malang lagi, bukan hanya penunggang yang terkorban, tetapi melibatkan juga pengguna jalan raya yang lain, termasuklah pemandu, pejalan kaki dan penunggang yang sah.

Selain korban nyawa, negara turut menanggung kerugian ekonomi yang besar. Kajian MIROS pada tahun 2018 menganggarkan kos satu kematian jalan raya mencecah RM3.12 juta meliputi rawatan perubatan, respons kecemasan, kerosakan harta benda dan kehilangan produktiviti. Jika disesuaikan dengan keadaan ekonomi semasa, angka itu pasti lebih
tinggi.

Dalam masa yang sama, timbul pula masalah sosial yang merisaukan seperti geng bermotosikal, kecurian motosikal, penyalahgunaan dadah dan gangguan ketenteraman awam, di mana semua ini memberi kesan langsung terhadap kesejahteraan komuniti.

Mengapa fenomena ini sukar dibendung? Tentunya terdapat pelbagai faktor yang perlu kita perhalusi setiap satunya. Selain pengaruh rakan sebaya dan keinginan mencari keseronokan, ramai anak muda berhadapan tekanan ekonomi, kekurangan peluang pembangunan diri dan krisis identiti.

Kurangnya pengawasan keluarga serta daya tarikan aksi berbahaya di media sosial turut menjadi pemangkin utama. Dalam banyak keadaan, anak-anak muda ini bukan sekadar melanggar undang-undang, tetapi juga cuba mencari
ruang untuk menonjolkan diri dalam masyarakat yang semakin kompetitif.

Penguatkuasaan penting dan mesti diteruskan, namun pengalaman bertahun-tahun membuktikan penguatkuasaan sahaja tidak mencukupi. Kita perlu melangkah lebih jauh. Pendidikan keselamatan jalan raya harus disampaikan secara kreatif, konsisten dan relevan kepada realiti hidup belia. Hukuman terhadap perlumbaan haram dan motosikal ubah suai perlu diperketat, termasuk penyitaan wajib dan program pemulihan bagi kesalahan yang berulang.

Pada masa yang sama, kita juga harus mengakui negara masih kekurangan saluran sukan permotoran yang sah, selamat dan mampu diakses oleh belia minat sukan permotoran ini. Menyediakan litar berlumba kos rendah dan program aktiviti bermotor terkawal dapat membantu mengalihkan sebahagian tenaga dan minat mereka ke arah lebih positif.

Komuniti dan NGO turut memainkan peranan penting sebagai ejen bimbingan, penyedia aktiviti alternatif, penganjur latihan kemahiran dan pembina jati diri generasi muda. Mereka ini mampu mengisi kekosongan yang tidak dapat ditampung sepenuhnya oleh sistem pendidikan atau penguatkuasaan formal.

Akhirnya, fenomena mat rempit bukan sekadar isu pelanggaran trafik. Ia ialah cerminan cabaran ekonomi, kecelaruan identiti belia dan jurang sosial dalam masyarakat. Mengabaikan isu ini atau mengurangkannya kepada stereotaip hanya akan menambah kegagalan kita membimbing generasi muda dengan betul.

Jika kita benar-benar serius mahu mengurangkan kematian jalan raya serta membentuk belia yang berdisiplin dan
berdaya tahan, perbincangan mengenai isu mat rempit perlu diteruskan secara lantang, konsisten dan menyeluruh.
Ia tidak boleh hilang mengikut kitaran berita. Perbincangan ini mesti berterusan sehinggalah keselamatan jalan raya dapat dipulihkan, nyawa dapat dilindungi dan anak-anak muda diberikan laluan hidup yang lebih bermakna.

Penulis adalah Pensyarah Kanan, Universiti Kebangsaan Malaysia.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast