KUALA TERENGGANU – Pas Terengganu mendesak Kerajaan Persekutuan menghentikan gangguan terhadap penyaluran royalti petroleum yang menjadi hak mutlak kerajaan dan rakyat negeri itu.
Royalti petroleum sebanyak RM820 juta didakwa belum dimasukkan ke akaun rasmi negeri.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, bagi tahun 2024 hanya RM733 juta daripada RM1.553 bilion royalti petroleum disalurkan ke akaun negeri, sedangkan baki RM820 juta tidak diterima.
Bagi tahun 2025 pula, sehingga 2 November hanya RM583 juta daripada RM1.08 bilion telah masuk ke akaun kerajaan negeri, ujarnya.
“Ini jelas menunjukkan hampir 50% hasil royalti negeri dinafikan hak untuk diurus sendiri,” katanya.
Selain itu, Pas Terengganu menegaskan bahawa masalah penyaluran royalti ini telah berlaku sejak 2023 dan menyalahi semangat federalisme.
“Tindakan ini bukan sahaja menafikan hak kewangan negeri, malah mencabul prinsip keadilan fiskal dalam sistem persekutuan Malaysia,” kata Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Husain Awang dalam satu kenyataan hari ini. – MalaysiaGazette















