KUANTAN – Seorang lelaki maut apabila kenderaan dipandu bertembung dengan sebuah lori syarikat kurier dalam kemalangan di kilometer 138 Jalan Kota Bahagia-Melati, Rompin.
Ketua Polis Daerah Rompin, Superintendan Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 3.20 petang tadi.
“Siasatan awal mendapati, mangsa memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza dari arah Kota Bahagia menghala ke araj Melati.
“Ketika sampai di lokasi kejadian, sebuah lori jenis Hino dari arah bertentangan dipercayai hilang kawalan dan terbabas masuk ke laluan MPV dan melanggar bahagian depan MPV terbabit,” katanya dalam kenyataan.
Jelas Sharif Shai, akibat pertembungan itu, mangsa Zamri Saili, 48 meninggal dunia di tempat kejadian.
Beliau berkata, pemandu lori yang berusia 41 tahun pula mengalami kecederaan patah bahagian tangan kanan serta bengkak kaki kiri dan bahagian kepala sebelah kiri dan dibawa ke Hospital Muadzam Shah untuk mendapatkan rawatan kecemasan.
Mayat mangsa juga katanya turut dibawa ke hospital sama bagi proses bedah siasat.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – MalaysiaGazette
















