KUALA LUMPUR – Pemuda Amanah Selangor mengecam keras tindakan Pemuda Pas Selangor yang didakwa mengeluarkan kenyataan penuh manipulasi data, salah tafsiran statistik serta andaian politik tidak berasas terhadap kerajaan negeri itu.
Ketuanya, Danial Al-Rashid Haron berkata, kenyataan yang dibuat oleh sayap pemuda parti pembangkang itu bukan sahaja tidak tepat, malah mencerminkan kelemahan disiplin politik apabila membuat kesimpulan berhubung Belanjawan Selangor 2026 yang masih belum dibentangkan secara rasmi.
“Bagaimana mereka boleh memuktamadkan kerajaan negeri gagal dalam Belanjawan 2026 sedangkan pembentangan rasmi hanya akan berlangsung esok?
“Mengulas bajet yang belum dibaca dan belum dikemukakan kepada Dewan hanya menunjukkan sikap tergesa-gesa mencari modal politik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Danial menegaskan, dalam sistem demokrasi, proses semak dan imbang perlu dilakukan berasaskan dokumen sebenar, bukan berdasarkan ramalan atau fantasi politik semata-mata.
Menurutnya, Pemuda Pas Selangor menggunakan angka secara selektif untuk mencipta naratif kegagalan kerajaan negeri.
“Angka yang mereka kemukakan dicabut daripada konteks sebenar, tidak mengambil kira faktor nasional serta mengabaikan trend jangka panjang dan komponen kesejahteraan sosial secara menyeluruh,” jelasnya.
Sebagai contoh, beliau berkata, penurunan kadar pertumbuhan Indeks Kesejahteraan Sosial adalah fenomena nasional pasca pandemik, bukannya khusus di Selangor.
“Mereka hanya menonjolkan dua subkomponen iaitu keselamatan dan kesihatan, tetapi tidak pula memaparkan elemen lain yang menunjukkan peningkatan seperti akses perkhidmatan, pendapatan median serta penambahbaikan infrastruktur sosial,” ujarnya.
Danial turut menjelaskan, kadar inflasi 1.8 peratus di Selangor juga bukan petanda kegagalan pentadbiran negeri, malah lebih rendah berbanding beberapa negeri lain yang ditadbir oleh Perikatan Nasional (PN).
Beliau pada masa sama menempelak empat cadangan yang dibawa Pemuda Pas Selangor berkaitan peruntukan keselamatan dan kesihatan, pemerkasaan kemahiran kerja, rumah mampu milik serta pembangunan luar bandar kerana didakwa bukanlah idea baharu.
“Semua perkara ini sudah pun menjadi dasar kerajaan negeri sejak pelaksanaan Rancangan Selangor Pertama (RS-1).
“Program seperti Iltizam Selangor Sihat, Skim Hijrah, Iltizam Kerjaya Selangor, Smart Rent dan pelbagai inisiatif infrastruktur luar bandar telah lama dilaksanakan,” katanya.
Beliau menegaskan, pembangkang sepatutnya tampil dengan cadangan yang lebih konstruktif dan inovatif, bukannya sekadar mengulang dasar sedia ada kerajaan negeri.
“Jika benar mahu berfungsi sebagai pembangkang yang bertanggungjawab, tampilkanlah idea baharu, bukan ramalan politik yang tidak berpijak pada fakta,” katanya. – MalaysiaGazette
















