KUANTAN – Seorang penganggur yang didakwa menikam perut seorang pekebun bulan lepas menukar pengakuan kepada tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan, di sini, hari ini.
Tertuduh, Jabalul Akhir Mat Shafie, 25 membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan semula kepadanya dalam prosiding sebutan kes di hadapan Hakim Azman Mustapha.
Mengikut pertuduhan, Jabalul Akhir didakwa melakukan kesalahan tersebut di Jalan Bakti, Kampung Sri Damai, Batu 7, Jalan Gambang, di sini, pada jam 6.40 petang, 31 Oktober lalu.
Dia didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah terhadap mangsa dengan menggunakan senjata untuk menikam bahagian perut sehingga mengalami kecederaan parah yang mungkin menyebabkan kematian.
Bagi kesalahan tersebut itu, dia telah didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dengan denda atau sebatan jika sabit kesalahan.
Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Anuarul Hakim Abdul Muen, manakala tertuduh diwakili Peguam Muhamad Saifuldin Ab Rahman.
Mahkamah menetapkan tarikh 5 Disember depan untuk sebutan semula kes. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
















