PUTRAJAYA – Pihak-pihak dalam kes pertikaian tanah Duta Enclave, memberi penghormatan kepada Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Hanipah Farikullah, yang bersidang buat kali terakhir, hari ini.
Hakim Hasnah akan mula bersara secara rasmi, esok, manakala Hakim Hanipah pada 22 November ini selepas berkhidmat selama berdekad-dekad dalam bidang kehakiman.
Hakim Hasnah yang mengetuai panel tiga hakim serta Hakim Hanipah yang turut bersidang dalam panel itu, menerima ucapan penghargaan selepas selesai memberikan keputusan dalam permohonan kebenaran merayu Semantan Estate Sdn Bhd (SESB).
Membalas ucapan penghargaan itu, Hakim Hasnah menjawab ringkas: “Ini sidang terakhir dan keputusan terakhir kami. Tirai terakhir kami.”
Peguam kanan, Datuk Malek Imtiaz Sarwar yang mewakili Majlis Peguam Malaysia sebagai amicus curiae (sahabat mahkamah), memuji kedua-dua individu berkenaan atas kebijaksanaan dan kesabaran mereka dalam menangani isu undang-undang yang kompleks.
Malek turut mengimbas kembali pertemuannya dengan Hasnah pada 1990-an ketika beliau berkhidmat sebagai Hakim Mahkamah Sesyen, mengingati kecerdasannya dalam bidang perundangan serta berkeperibadian mesra, yang disifatkan sebagai meninggalkan kesan mendalam.
Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan yang mewakili Jabatan Peguam Negara (AGC) pada prosiding tersebut pula berkata, kedua-dua hakim itu telah meraih penghormatan pada setiap peringkat mahkamah yang mereka kendalikan.
“Keputusan mereka tepat, adil dan sentiasa mengambil kira semua pihak,” katanya.
Seorang lagi peguam kanan, Datuk Dr Cyrus V Das yang mewakili SESB juga mengambil kesempatan menyampaikan ucapan tahniah dan mendoakan persaraan mereka.
Selepas prosiding tamat, semua pihak kemudian mengabadikan kenangan dengan bergambar bersama buat kali terakhir di dalam mahkamah.
Terdahulu, mahkamah tertinggi negara itu menolak permohonan SESB untuk kebenaran merayu keputusan Mahkamah Rayuan, sekali gus menamatkan pertikaian undang-undang mereka terhadap pemilikan tanah seluas 107 hektar di Jalan Duta.
Tanah dipertikaikan itu yang terletak di kawasan utama Jalan Duta dikenali sebagai Duta Enclave, menempatkan beberapa bangunan kerajaan termasuk Stadium Hoki Negara, Institut Integriti Malaysia, Arkib Negara, Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, bangunan Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Akademi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. – MalaysiaGazette















