PMX menghubungi Perdana Menteri Kemboja dan Perdana Menteri Thailand, hari ini. Foto FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul memberi maklum balas positif serta menegaskan komitmen untuk mencari penyelesaian damai, seterusnya mematuhi perkara yang telah dipersetujui dalam Perjanjian Damai Kuala Lumpur, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Perdana Menteri, perkara tersebut disampaikan kedua-dua pemimpin terbabit ketika dihubungi beliau menerusi panggilan telefon, hari ini.

“Alhamdulilah, kedua-duanya memberikan maklum balas positif

“Saya menegaskan pendirian Malaysia untuk melihat persahabatan dan gencatan senjata antara kedua-dua negara diperkukuh selaras persefahaman yang termeterai di Kuala Lumpur hujung bulan lalu,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, malam ini.

Tambah Anwar, Malaysia juga menyatakan kesediaannya untuk terus memainkan peranan sebagai pemudah cara dalam merintis jalan damai ini.

Menurut beliau kedua-dua Perdana Menteri turut menyampaikan penghargaan atas pendirian Malaysia serta peranan yang digalas, bukan sahaja sebagai Pengerusi ASEAN tetapi juga selaku sahabat dan jiran serantau yang mendambakan keamanan.

“Semoga kedua-dua negara terus menunjukkan kesungguhan dan keberanian untuk mengembalikan kestabilan di perbatasan demi keamanan yang berkekalan di rantau ini, dan demi keselamatan rakyat kedua-dua negara,” katanya lagi.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

 

Thailand gantung pelaksanaan Perjanjian Damai KL

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast