Anwar Ibrahim (kiri) dan Donald Trump (kanan) menyaksikan Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul (dua kiri) dan Perdana Menteri Kemboja Hun Manet (dua kanan) memegang dokumen selepas upacara menandatangani perjanjian gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja yang dikenali sebagai 'Perjanjian Damai KL' pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di KLCC. Foto AFP.

BANGKOK – Thailand akan menggantung pelaksanaan Perjanjian Damai Kuala Lumpur yang baru sahaja dimeterai dua minggu lalu susulan letupan periuk api sehingga mencederakan dua askar Thai berhampiran sempadan negara itu dan Kemboja.

Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, turut mengancam untuk menggagalkan perjanjian damai yang disokong Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump itu.

Menurut Anutin, Thailand juga akan menangguhkan pembebasan 18 askar Kemboja yang kini berada dalam tahanan – langkah yang sepatutnya bermula pada 21 November mengikut syarat perjanjian damai tersebut.

“Segala yang kami lakukan setakat ini akan dihentikan sehingga ada lebih banyak pencerahan.

“Apa yang berlaku menunjukkan bahawa permusuhan masih belum reda seperti yang kami sangkakan. Jadi kami tidak boleh meneruskan apa-apa langkah buat masa ini,” katanya kepada pemberita hari ini.

Perdana Menteri Thailand, Anutin Cahrnvirakul pada Majlis Perasmian Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 25 OKTOBER 2025.

Media tempatan melaporkan, kedua-dua askar terbabit terpijak periuk api yang disyaki baru dipasang semasa rondaan rutin di wilayah Si Sa Ket, hari ini.

Ia merupakan letupan ketujuh dalam tempoh empat bulan, susulan siri letupan pada Julai lalu yang mencetuskan pertempuran paling teruk di sempadan negara itu dalam tempoh beberapa tahun.

Sedangkan Perjanjian Damai Kuala Lumpur menyeru agar senjata berat dikeluarkan dari zon sempadan antara 1 November hingga 31 Disember serta kerjasama dalam usaha pembersihan periuk api.

Thailand turut menggesa Kemboja memperhebat tindakan terhadap operasi penipuan siber di negara itu.

Anutin juga telah mengarahkan Kementerian Luar Negeri dan Kementerian Pertahanan untuk mengemukakan aduan kepada pasukan pemerhati yang terdiri daripada pegawai tentera negara-negara Asia Tenggara.

Beliau dijadualkan terbang ke Si Sa Ket pada Selasa untuk melawat askar yang cedera dan mempengerusikan mesyuarat mengenai pendirian Thailand terhadap perjanjian damai itu.

Dalam pada itu, jurucakap Kementerian Pertahanan Negara Kemboja tidak memberi sebarang maklum balas terhadap permintaan untuk komen setakat ini.- AGENSI

ARTIKEL BERKAITAN

Anwar, Trump saksi Perjanjian Damai KL dimeterai

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast