Anwar Ibrahim (kiri) dan Donald Trump (kanan) menyaksikan Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul (dua kiri) dan Perdana Menteri Kemboja Hun Manet (dua kanan) memegang dokumen selepas upacara menandatangani perjanjian gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja yang dikenali sebagai 'Perjanjian Damai KL' pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di KLCC. Foto AFP.

KUALA LUMPUR – Malaysia melakar sejarah apabila menjadi saksi perjanjian Thailand dan Kemboja hari ini yang dikenali ‘KL Peace Accord‘ atau Perjanjian Damai KL sekaligus menjadi langkah rasmi untuk menamatkan pertelingkahan dan memulihkan keamanan di kawasan sempadan yang menjadi pertikaian kedua-dua negara itu.

Majlis perjanjian damai itu ditandatangani Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul dan rakan sejawatnya dari Kemboja, Hun Manet di luar acara Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini.

Turut hadir yang menyaksikan pemeteraian itu ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi ASEAN, dan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Hadir sama, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail serta Setiausaha Negara AS, Marco Rubio dan Duta Besar AS ke Malaysia, Edgard D Kagan.

Dalam pada itu, Perjanjian Damai KL itu mengukuhkan persetujuan gencatan senjata yang telah dicapai pada Julai lepas, susulan rundingan antara Thailand dan Kemboja.

Perjanjian damai turut menandakan detik penting dalam diplomasi serantau ASEAN, mencerminkan komitmen blok serantau itu terhadap pencegahan konflik, kestabilan dan kerjasama.

Thailand dan Kemboja terjebak dalam konflik sejak sekian lama mengenai sempadan sepanjang 817 kilometer dengan ketegangan terkini pada 24 Julai lalu yang mencetuskan konfrontasi ketenteraan.

Pada 28 Julai lalu, Anwar menganjurkan mesyuarat penting di Putrajaya antara Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai yang berjaya meredakan ketegangan di sempadan bersama kedua-dua negara.

Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 berjaya menghimpunkan bukan sahaja negara-negara anggota ASEAN dan rakan dialog tradisi seperti China, Jepun, Korea Selatan, India, Australia dan New Zealand, tetapi juga pemimpin luar rantau ini termasuk Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah, Kanada, Rusia, Brazil dan Afrika Selatan.
Sejak penubuhan badan serantau itu pada 1967, ini kali kelima Malaysia menjadi tuan rumah pada 2015, 2005, 1997 dan 1977. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast