KUALA LUMPUR – Seorang anggota polis cedera selepas dilanggar kereta jenis Toyota Vios yang cuba melarikan diri di sebuah stesen minyak di Persiaran Raja Muda Musa, Klang, semalam.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Ramli Kasa berkata, kejadian berlaku pada pukul 2.30 petang semalam apabila pasukan polis terserempak dengan kenderaan suspek yang dipercayai terlibat dengan jenayah samun di Subang Jaya sebelum ini.
“Ketika kejadian, suspek bertindak agresif dengan menolak anggota polis dan melarikan diri menaiki keretanya hingga melanggar serta hampir menggilis kaki anggota polis terbabit.
“Suspek juga turut melanggar kereta yang digunakan polis itu sebelum memandu lawan arus menuju ke Shah Alam.
“Suspek kemudiannya meninggalkan keretanya di tepi jalan Persiaran Sultan Ibrahim sebelum melarikan diri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Ramli, dalam kejadian itu anggota terbabit mengalami kecederaan dan mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Hospital Klang, manakala kenderaan pasukan keselamatan pula mengalami kerosakan.
Tambah beliau, objek yang didakwa sebagai peluru atau kelonsong yang tular di laman me laman media sosial, Ramli berkata, ia adalah serpihan kunci yang digantung di poket anggota terbabit.
“Bertindak atas maklumat, kira-kira jam 12.45 tengah malam Khamis, suspek warga tempatan berusia 33 tahun telah diberkas di sekitar Bandar Bukit Tinggi, Klang.
“Hasil semakan mendapati suspek mempunyai 20 rekod jenayah lampau dan lima rekod berkaitan dadah.
“Berikutan itu kita telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 186 dan 307 Kanun Keseksaan atas kesalahan menghalang penjawat awam dan cuba membunuh,” ujarnya.
Ramli menegaskan polis kini meneruskan siasatan lanjut berhubung penglibatannya dalam jenayah suspek terbabit.
Sebelum itu, tular rakaman video berdurasi 1 minit 17 saat yang dirakamkan orang awam yang berada di lokasi kejadian yang memaparkan kenderaan suspek yang melarikan diri.
Dalam video berkenaan, kereta Toyota Vios putih dipercayai dipandu suspek melarikan diri selepas kejadian itu dan meninggalkan mangsa dalam keadaan terbaring. – MalaysiaGazette















