BANGI – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, tekad Kerajaan Madani dalam memerangi kartel dan penyeludupan adalah langkah luar biasa yang dilaksanakan bagi menyelamatkan bangsa dan negara.
Menurutnya, isu kartel dan penyeludupan bukan satu isu baharu sebaliknya, telah berlaku sejak puluhan tahun dan terbiar serta tidak dibendung dahulu kerana tidak ada upaya serta tekad politik.
“(Tekad ini bawa) risiko besar kepada SPRM, LHDN PDRM. Semua risiko besar kerana mereka (kartel) sudah begitu kuat tetapi kita sentiasa bertawakal kepada Allah SWT.
“Langkah-langkah kita ambil itu langkah luar biasa bayangkan berpuluh tahun terbiar dan puluhan bilion ringgit hilang, ukurannya (tekad ini) pada pelaksanaannya dan usaha menyelamatkan bangsa dan negara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen Pengajian Islam Institut Pendidikan Tinggi (IPT) Antarabangsa 2025 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini.
Hadir sama, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar.
Mengulas lanjut, Anwar menyelar tindakan segelintir individu yang membisu dengan kejayaan agensi penguatkuasa dalam menumpaskan kartel dan penyeludupan di negara ini.
“Kalau dengan perbicaraan di Parlimen tidak ada yang bersuara. Adalah boleh kata beberapa ahli Parlimen penyokong kerajaan tetapi, sebelah sana langsung tiada.
“Saya katakan terima SPRM dan polis yang menjalankan tugas selamatkan negara kita. Penyeldupan saya sebut di Parlimen, kontena masuk keluar di pelabuhan puluhan tahun dengan seludup barang masuk dan barang keluar,” katanya.
Sementara itu, beliau menggesa pelajar di Fakulti Pendidikan Islam untuk menggunakan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI) sebagai usaha baharu memperkasakan syiar Islam.
“Sebaiknya mereka (pelajar) harus ada juga satu bidang khusus, (sekarang) kita ada multi disiplin ini termasuk soal teknologi komputer AI,” ujarnya.
Konvensyen Pengajian Islam Malaysia IPT Antarabangsa 2025 adalah perhimpunan ilmuwan dan pemimpin akademik negara dalam menzahirkan keutuhan ilmu, hikmah, dan perpaduan dalam memperkasakan pengajian Islam di Malaysia. – MalaysiaGazette
















