KUANTAN – Badan Perhubungan UMNO Pahang akan menggerakkan 100 daripada ahlinya ke Sabah bagi membantu jentera kempen Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Menurut Pengerusinya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, jumlah itu akan ditambah mengikut kesesuaian dan keperluan kelak.
“Selain itu, seramai 20 orang pelajar Sekolah Patriotik UMNO juga akan dihantar untuk kita bagi pendedahan kepada mereka, selain bersama-sama membantu dan melihat proses perjalanan demokrasi di negara kita,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Besar Pahang berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Sesi Town Hall Pahang 1st Lecture Series di Kompleks Yayasan Pahang, di sini.
Jelas Wan Rosdy, UMNO Pahang akan membantu perjalanan kempen memenangi calon BN di Kinabatangan dan Beluran.
Sebagai rekod, terdapat tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kinabatangan meliputi DUN Kuamut, Lamag dan Sukau, manakala terdapat tiga DUN di Beluran iaitu Telupid, Sugut dan Labuk.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 29 November ini sebagai hari pengundian bagi PRN Sabah ke-17 di mana hari penamaan calon ditetapkan pada 15 November. – MalaysiaGazette
















