Pelancaran visi, misi, falsafah dan objektif (VMFO) baharu UiTM yang berlangsung hari ini.

SHAH ALAM – Universiti Teknologi Mara (UiTM) memperkenalkan visi baharu  – “Universiti Unggul Pemacu Bumiputera Profesional” bagi memacu generasi bumiputera berilmu, beradab, dan berdaya saing di peringkat global.

Naib Canselor UiTM, YBhg. Profesor Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin berkata, visi baharu itu menekankan pendidikan berkualiti, penyelidikan berimpak tinggi, dan pembangunan bakat masa depan.

Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin (dua dari kiri) dan  Mohd Khamil Jamil (tiga dari kanan) bergambar bersama VMFO UiTM baharu.

“Visi baharu UiTM memposisikan universiti bukan sekadar institusi ilmu, tetapi pemacu utama dalam melahirkan Bumiputera profesional yang berdaya saing, berjiwa besar dan memiliki karakter unggul,” ujar beliau semasa melancarkan visi, misi, falsafah dan objektif (VMFO) baharu universiti ini.

Majlis pelancaran di Dewan Konsert Seri Budiman (DKSB), UiTM Shah Alam, disempurnakan Tan Sri Mohd Khamil Jamil, Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM, dan disaksikan kepimpinan universiti, pensyarah, alumni, serta wakil industri.

Pelancaran ini bagi memacu generasi bumiputera berilmu, beradab, dan berdaya saing di peringkat global.

Menurut beliau, misi baharu UiTM menekankan keilmuan, adab, dan kepakaran untuk melahirkan graduan berjiwa usahawan, manakala falsafah baharu fokus mengasuh bakat individu dengan prinsip bahawa ilmu dan adab saling melengkapi.

Mohd Khamil Jamil (tiga dari kiri) dan Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin (dua dari kanan) bergambar bersama replika VMFO UiTM baharu.

UiTM turut memperkenalkan 10 objektif strategik bagi memastikan universiti kekal relevan dan berdaya tahan dalam menghadapi cabaran pendidikan tinggi.

Antara objektif tersebut ialah akses pendidikan inklusif, kurikulum terkehadapan, peningkatan kebolehpasaran graduan, penyelidikan berimpak tinggi, jaringan global, pembangunan insaniah holistik, tadbir urus berintegriti, dan kelestarian kewangan.

Shahrin turut menegaskan UiTM adalah “amanah sejarah bangsa” dan menyeru warga universiti menjadikan pelancaran VMFO sebagai permulaan memperkukuh kecemerlangan berlandaskan ilmu dan adab. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast