SHAH ALAM – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Selangor menyangkal dakwaan kononnya polis menjual semula atau melepaskan dadah-dadah yang telah dirampas.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar menegaskan dakwaan tersebut bukan sahaja tidak benar malah boleh menjejaskan imej pihak berkuasa tersebut.
“JSJN kontinjen Selangor ingin menyangkal dakwaan tidak berasas daripada mana-mana pihak yang menuduh kononnya polis menjual semula atau melepaskan dadah-dadah yang telah dirampas ke pasaran,” katanya ketika sidang media di IPK Selangor hari ini.
Terdahulu beliau memaklumkan pihaknya melupuskan sebanyak 596.2 kilogram (kg) dan 2,744 liter campuran dadah yang telah selesai kes mahkamah bagi tempoh 2022 hingga 2025.
Ia melibatkan nilai keseluruhan RM10.3 juta.
Turut dilupuskan lebih 21,000 kertas siasatan berkaitan dadah bagi tempoh 1995 hingga 2018.
“Kesemua dadah ini akan dihantar ke tapak pelupusan dadah melalui syarikat yang dilantik oleh kerajaan iaitu Cenviro Sdn. Bhd bertempat di Bukit Pelandok, Port Dickson, Negeri Sembilan,” jelasnya.
Terdahulu, Shazeli berkata, JSJN Selangor telah membuka 30,214 kertas siasatan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952 bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini.
“Daripada jumlah tersebut seramai 775 individu telah ditangkap sebagai pengedar dadah di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan jika disabitkan kesalahan,” katanya lagi. -MalaysiaGazette
















