KUALA LUMPUR – Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC Berhad) terus mengukuhkan reputasinya sebagai organisasi yang menitikberatkan aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH) apabila meraih empat pengiktirafan pada Majlis Anugerah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan MSOSH ke-43 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.
Majlis anjuran Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH) itu disempurnakan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad yang turut menghimpunkan pelbagai organisasi dan individu cemerlang dalam pelaksanaan budaya keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.
Sejak diperkenalkan pada 1982, Anugerah MSOSH menjadi platform penanda aras industri bagi menilai pematuhan dan keberkesanan sistem pengurusan OSH dalam sektor masing-masing.
Pada penganugerahan kali ini, Pangkalan Bekalan Kemaman Sdn Bhd (PBKSB), anak syarikat EPIC Berhad yang menyediakan perkhidmatan pangkalan bekalan serta sokongan minyak dan gas, mencatat pencapaian membanggakan apabila meraih skor Prestasi OSH Cemerlang antara 85 hingga 89.99 peratus.
Pencapaian itu melayakkan PBKSB menerima anugerah MSOSH Gold Merit buat kali pertama selepas mengekalkan rekod MSOSH Gold (Class I) selama lima tahun berturut-turut.
Dua lagi anak syarikat EPIC Berhad, iaitu EPIC OG Sdn Bhd (EOGSB) yang terlibat dalam perkhidmatan kejuruteraan dan penyelenggaraan pelantar minyak dan gas, serta Konsortium Pelabuhan Kemaman Sdn Bhd (KPKSB) selaku pengendali Pelabuhan Kemaman, turut menunjukkan prestasi cemerlang apabila masing-masing dianugerahkan MSOSH Gold Class I selepas memperoleh MSOSH Gold Class II pada tahun sebelumnya.
Dalam majlis sama, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad, Dr. Muhtar Suhaili turut dinobatkan sebagai penerima MSOSH President’s Award, sebagai pengiktirafan terhadap kepimpinan dan komitmen beliau dalam memperkukuh budaya keselamatan dan kesihatan pekerjaan di seluruh operasi kumpulan.
“Kejayaan pada hari ini adalah hasil usaha bersama seluruh warga kerja yang sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan dalam setiap tugasan. Ia membuktikan bahawa amalan keselamatan yang baik bukan sekadar keperluan pematuhan, tetapi asas kepada keberkesanan operasi dan produktiviti organisasi,” katanya.
Beliau turut menegaskan, komitmen EPIC Berhad untuk terus memperkukuh sistem pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang mampan serta memupuk budaya kerja selamat dalam kalangan warga kerja.
“Kami akan terus memperbagaikan inisiatif bagi meningkatkan kesedaran dan memastikan setiap operasi dijalankan dalam persekitaran kerja yang selamat, sihat dan produktif demi kesejahteraan pekerja, rakan perniagaan serta pihak berkepentingan,” tambahnya. – MalaysiaGazette















