Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman sudah berbincang dengan Genting Malaysia

KUANTAN – Genting Malaysia diminta pertimbang kadar kutipan caj jalan Ppersendirian yang munasabah dan tidak membebankan pengguna.

Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman berkata, Genting Malaysia juga diminta memastikan mekanisme kutipan bayaran yang efisien agar tidak menyebabkan kesesakan lalu lintas yang berganda di kawasan tersebut.

Katanya, dia telah mengadakan siri perbincangan dengan pihak Genting Malaysia susulan pengumuman dibuat untuk mengenakan kadar caj jalan persendirian di laluan masuk ke kawasan Genting Highlands  dari arah Lebuhraya Karak serta laluan masuk dari arah Batangkali.

Menurutnya, laluan Jalan Genting sepanjang 24 kilometer itu disahkan oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) sebagai jalan persendirian dan bukan jalan persekutuan.

Katanya, sejak tahun 1960-an lagi, penyelenggaran jalan, cerun serta kerja-kerja mitigasi bencana sepanjang laluan tersebut telah ditanggung kosnya dan dibuat oleh Genting Malaysia bagi memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna.

“Pembinaan struktur kutipan caj jalan persendirian yang dibuat bukan di bawah bidang kuasa Lembaga Lebuhraya Malaysia kerana di atas tanah persendirian.

“Bagaimanapun, spesifikasi pembinaan dan Kebenaran Merancang (KM) telah pun mendapat kelulusan pihak Majlis Perbandaran Bentong,” katanya dalam kenyataan.

Oleh itu, Young Syefura berkata, sebagai wakil rakyat, beliau  mencadangkan beberapa perkara kepada Genting Malaysia untuk dipertimbangkan termasuk memberi pengecualian khas atau diskaun caj jalan persendirian sekurang-kurangnya kepada penduduk, pekerja serta mereka yang mempunyai anak yang bersekolah di Genting.

Selain itu, Genting Malaysia juga disaran memastikan pantauan dan penyelenggaran berterusan keadaan jalan dan cerun di sepanjang laluan jalan Genting secara berkala.

“Saya berharap agar semua pihak mendapat penjelasan yang jelas demi keselamatan dan keselesaan pengunjung dan pengguna jalan ke Genting.

“Saya akan berterusan mengadakan perbincangan dengan pihak Genting Malaysia bagi memastikan pelaksanaannya dibuat dengan baik dan tidak menjejaskan penduduk,” tambahnya lagi.

Beliau berkata, sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, pusat peranginan Genting Highland merupakan kawasan popular yang akan menerima jumlah pengunjung yang sangat ramai.

Justeru, beliau mendukung sebarang usaha dan kerjasama untuk memastikan keadaan jalan dan cerun di tanah tinggi Genting agar sentiasa berada dalam keadaan yang selamat. – MalaysiaGazette

Jalan ke Genting Highlands akan dikenakan bayaran

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast