TOKYO – Jepun sedang cuba melantik anggota polis dan askar yang telah bersara untuk menangani beruang ketika negara ini bergelut dengan serangan maut haiwan tersebut yang mencecah rekod tahun ini.
Ketua Setiausaha Kabinet Minoru Kihara yang mengetuai mesyuarat menteri khas dan meluluskan dasar merangkumi meminta mereka yang berpengalaman mengendalikan senjata api, seperti polis dan askar yang telah bersara untuk menyertai usaha memusnahkan haiwan itu.
Sejak April, haiwan itu telah membunuh 13 orang di seluruh negara, dengan aliran laporan beruang yang berterusan memasuki kawsan rumah, berkeliaran berhampiran sekolah dan menyerang pasar raya.
“Pakej ini bertujuan untuk mengurangkan populasi beruang yang berlebihan dengan menghapuskan beruang dari habitat manusia dan mempergiatkan usaha penangkapan,” kata Kihara pada sidang akhbar.
Penduduk luar bandar, terutamanya di wilayah utara Akita dan Iwate, telah melaporkan melihat beruang di jalan raya.
Para saintis mendakwa peningkatan jumlah beruang yang memasuki kawasan perumahan turut berpunca kemerosotan hasil tuaian biji oak yang buruk tahun ini dan penurunan populasi manusia.
Sesetengah majlis perbandaran telah menugaskan polis rusuhan untuk bekerjasama dengan pemburu tempatan untuk menembak dan memerangkap beruang.
Mereka mula meronda beberapa bahagian Iwate dengan senapang pada hari Khamis selepas perubahan pada peraturan senjata api berkuat kuasa.
Pasukan bertugas aktif juga menyediakan sokongan logistik seperti mengangkut perangkap dan menangkap beruang di beberapa kawasan.
Kihara berkata, di bawah pakej dasar ini, majlis perbandaran akan ditawarkan subsidi untuk membantu menangani beruang, termasuk menjalankan tinjauan populasi dan memusnahkannya pada musim bunga selepas hibernasi mereka.
Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Tokyo menerusi laman sesawangnya mengeluarkan “amaran hidupan liar” kepada orang ramai supaya mengelakkan berjalan bersendirian di kawasan beruang telah dikesan atau menjauhi sama sekali.
Kedutaan itu menyatakan pihak berkuasa tempatan menutup sebuah zoo bersebelahan dengan Konsulat Jeneral AS di Sapporo, utara Jepun, susulan penampakan beruang di kawasan sekitar.
Kerajaan British juga menggesa para pelancong untuk mengelakkan berjalan kaki secara bersendirian di kawasan-kawasan beruang telah dikesan.
Pada hari Rabu, seekor anak beruang muncul di sekitar Lapangan Terbang Iwate Hanamaki di wilayah Iwate, menyebabkan penutupan landasan selama lebih sejam dan kelewatan dua penerbangan domestic. – Agensi
















