KUALA LUMPUR – China kekal menjadi destinasi utama eksport sarang burung walet (SBW) Malaysia selepas kedua-dua negara menandatangani Protocol on Inspection, Quarantine and Hygiene Requirements for the Export of Raw-Unclean Edible-Birdnest and Raw-Clean Edible-Birdnest.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, protokol ini menetapkan keperluan teknikal terkini berkaitan pemeriksaan veterinar, kebersihan, pelabelan dan audit bagi pengeksportan sarang burung walet (SBW) mentah bersih dan belum dibersihkan ke China.
Protokol itu telah ditandatangani Mohamad bagi pihak Malaysia dan Sun Meijun, Menteri Pentadbiran Besar Kastam China (GACC), Sun Meijun, sekali gus menggantikan dua protokol yang telah ditandatangani pada tahun 2012 bagi eksport SBW mentah bersih dan pada tahun 2016 eksport SBW belum bersih ke China.
Kementerian itu berkata, nilai eksport SBW ke China telah meningkat daripada 201 tan pada tahun 2022 kepada 484 tan pada tahun 2024 dengan nilai dagangan sekitar RM1.5 billion setahun.
Katanya, pemeteraian protokol ini amat penting bagi memastikan kesinambungan eksport sarang burung walet Malaysia ke pasaran China serta memperkukuh reputasi Malaysia sebagai pembekal utama produk EBN (Edible Bird’s Nest) berkualiti tinggi di rantau ini.
Jelasnya, kementerian ini melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) akan terus berperanan sebagai pihak berkuasa yang kompeten dalam melaksanakan kawalan veterinar, pensijilan dan pemeriksaan ke atas loji pemprosesan yang berdaftar, dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia bagi pengeluaran sijil kesihatan dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) bagi pemeriksaan sebelum dieksport.
Malaysia juga, katanya, berhasrat untuk memperluas kerjasama perdagangan pertanian dengan China termasuk memuktamadkan protokol baharu bagi eksport produk ternakan dalam masa terdekat.
Sehubungan itu, protokol ini dijangka memberi manfaat langsung kepada lebih 15,000 pengusaha rumah burung walet dan 61 loji pemprosesan yang telah diluluskan oleh GACC, sekali gus meningkatkan daya saing eksport agromakanan negara. – MalaysiaGazette
















