Armizan Mohd Ali

PUTRAJAYA – Mesyuarat pertama mengenai isu hak tuntutan 40 peratus hasil bersih diperoleh dari Sabah dijadualkan berlangsung pada Isnin depan di Menara Kinabalu, Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri Sabah.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, keputusan untuk mempercepatkan rundingan itu menunjukkan keseriusan kerajaan dalam melaksanakan tanggungjawab berkaitan hak kewangan Sabah, termasuk penentuan kadar pemberian khas seperti yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

“Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini turut memutuskan bahawa rundingan teknikal antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah akan dimulakan dengan segera bagi melaksanakan keputusan Mahkamah Tinggi itu.

“Datuk Johan Merican, Ketua Setiausaha Perbendaharaan diberikan mandat mengetuai rundingan bagi pihak Kerajaan Persekutuan, manakala Kerajaan Sabah pula akan diketuai oleh Datuk Seri Safar Untong, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah,” katanya pada sidang media di Kementerian Komunikasi, di sini, hari ini.

Terdahulu, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan, Jemaah Menteri pada mesyuarat hari ini bersetuju secara prinsip untuk membuat pertukaran wakil Sabah dalam Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Beliau yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, dalam hal itu, Datuk Armizan Mohd Ali telah dilantik menggantikan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick bagi mewakili Sabah dalam jawatankuasa berkenaan.

Semalam, Perdana Manteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, Kerajaan Persekutuan perlu memadamkan alasan penghakiman mahkamah dalam isu hak tuntutan 40 peratus hasil bersih diperoleh dari Sabah, yang menyatakan kerajaan di peringkat negeri itu dan juga Persekutuan sejak 1974 bertindak secara tidak berperlembagaan.

Sehubungan itu beliau berkata, rayuan yang akan difailkan hanya berkisar alasan penghakiman yang mendakwa, kajian semula pemberian khas yang dibuat selepas 2021 menyalahi undang-undang dan tak rasional dan malah serta mengaitkan kesilapan besar dibuat kerajaan sejak 1974.

Justeru, beliau sekali lagi menegaskan Kerajaan Persekutuan tidak akan membuat rayuan terhadap pemberian khas berdasarkan 40 peratus hasil yang diperoleh dari Sabah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast