Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa akan mengadakan satu perjumpaan tertutup dengan semua Ahli Parlimen parti itu pada Selasa depan.

Menurut surat jemputan yang dilihat wartawan MalaysiaGazette memaklumkan bahawa pertemuan itu dibuat atas amanah yang diberikan oleh Muhyiddin bagi mengadakan sesi khas bersama barisan Ahli Parlimen Bersatu.

“Sukacita dimaklumkan bahawa saya telah diamanahkan oleh Tan Sri Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin, Mantan Perdana Menteri Kelapan merangkap Presiden Bersatu untuk menjemput Yang Berhormat ke satu pertemuan di antara Ahli-Ahli Parlimen Bersatu dan Presiden,” menurut surat berkenaan.

Pertemuan itu dijadual berlangsung pada jam 8 malam 18 November ini di kediaman Muhyiddin di Bukit Damansara, di sini.

Menurut surat itu, kehadiran Ahli Parlimen Bersatu amat diutamakan memandangkan ia merupakan pertemuan tertutup antara mereka dan pucuk pimpinan tertinggi parti.

Sesi tersebut dipercayai akan membincangkan perkembangan politik terkini serta hala tuju Bersatu menjelang persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Ahli Parlimen Bersatu yang menerima jemputan turut diminta mengesahkan kehadiran mereka.

Jemputan itu dipercayai ditandatangani Pegawai Khas kepada Muhyiddin, Mohd Naaim Mahmod.

MalaysiaGazette sedang mendapatkan pengesahan lanjut berhubung kesahihan surat berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast