KUANTAN – Pahang Orang Asli Corporation (ORACO) memandang serius penyalahgunaan nama syarikat atau Ketua Pegawai Eksekutifnya tanpa kebenaran bertulis.
ORACO dalam kenyataannya memaklumkan, mana-mana individu, kumpulan, pertubuhan atau syarikat adalah dilarang sama sekali berbuat demikian bagi sebarang tujuan pengiklanan, promosi, atau sebarang bentuk penerbitan awam.
“Larangan ini turut meliputi penggunaan nama tersebut dalam sebarang urusan pemohonan tanah, pelaksanaan projek, atau apa-apa aktiviti yang berkaitan dengan hartanah masyarakat Orang Asli, sama ada bagi tujuan komersial, sosial atau peribadi.
“Justeru, mana-mana pihak yang didapati melanggar larangan ini boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut peruntukan yang berkuat kuasa,” katanya.
Sehubungan itu, katanya ORACO tidak akan bertanggungjawab di atas mana-mana kerugian yang perlu ditanggung oleh individu atau syarikat akibat daripada transaksi urusan yang dibuat oleh mana-mana pihak ketiga selain daripada ORACO. – MalaysiaGazette
















