SHAH ALAM – Seorang pemilik akaun TikTok, Hidayat Ramli diberi tempoh 24 jam oleh Mahkamah Tinggi di sini untuk memadam klip video yang didakwa memfitnah Lembaga Tabung Haji (TH) di media sosial.
Arahan itu dikeluarkan oleh Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Hazizah Kassim selepas membenarkan permohonan injunksi sementara secara ex-parte atau sebelah pihak terhadap Hidayat, 38, selaku defendan.
Perintah itu turut meliputi larangan terhadap defendan, wakil atau mana-mana individu daripada menerbitkan, menyiarkan, berkongsi atau memuat naik semula klip video bertarikh 17 September lalu.
Keputusan itu dimaklumkan kepada pihak media oleh peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili TH selaku plaintif dalam kes saman terhadap pemegang akaun itu.
Ujarnya, mahkamah turut menetapkan pendengaran inter-parte didengar pada pada 27 November ini.
“Mahkamah turut mengeluarkan injunksi yang menghalang defendan daripada menerbitkan sebarang kenyataan yang serupa atau mempunyai kesan yang sama.
“Permohonan injunksi berkenaan dibuat kerana wujud keadaan mendesak untuk menghentikan penyebaran kandungan berunsur fitnah itu.
“Defendan didakwa secara berniat jahat memuat naik, menyiarkan dan menghebahkan klip video berkenaan.
“Kandungan tersebut palsu serta telah menjejaskan reputasi, mencalar imej dan menjatuhkan maruah TH di mata masyarakat,” katanya.
Menurut dokumen, plaintif berkata, defendan telah memuatnaik dan menerbitkan klip bersifat tidak benar dengan menggambarkan pendeposit telah berpusu-pusu mengeluarkan simpanan masing-masing.
Plaintif juga berkata, ia menimbulkan pandangan serong kepada pendeposit dan masyarakat Malaysia terhadap kestabilan kewangan TH.
Katanya, hal berkenaan juga menjejaskan dan merosakkan kestabilan selain menjatuhkan reputasi TH sebagai institusi kewangan Islam yang berwibawa serta dikenali secara meluas di peringkat antarabangsa.
“Setakat tarikh 29 September lalu, klip video yang mengandungi pernyataan fitnah telah mendapat lebih daripada 3.7 juta tontonan, 53,500 tanda suka, 7,351 komen, 12,200 simpanan dan dikongsi lebih daripada 52,700 kali oleh pengguna-pengguna TikTok seluruh dunia, termasuk di Malaysia.
“Tidak dinafikan, banyak komen negatif atau cacian susulan penerbitan terhadap TH, sekali gus menimbulkan rasa takut sehingga mereka menyatakan hasrat untuk menutup akaun masing-masing,” katanya.
Bukan itu sahaja katanya, keratan rakaman video tersebut telah dimuat turun oleh banyak pengguna TikTok dan dikongsi melalui aplikasi media sosial yang lain menyebabkan pihaknya memfailkan tuntutan saman fitnah pada 3 Oktober lalu. – MalaysiaGazette
















