Steven Sim Chee Keong

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kini memasuki fasa baharu pelaksanaan sistem perlindungan sosial negara apabila memperkenalkan pelbagai reformasi bagi menjaga kebajikan pencarum.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, sepanjang dua tahun lalu, pertubuhan itu telah melaksanakan 10 penambahbaikan utama berasaskan tiga teras iaitu kebajikan, kemahiran dan keberhasilan.

“PERKESO telah melakukan pembaharuan besar-besaran yang menjadi pemangkin kepada transformasi sistem keselamatan sosial negara.

“Antara yang utama adalah peningkatan manfaat pencarum sebanyak 20 peratus serta kenaikan kadar faedah khairat kematian sebanyak RM2,000 kepada RM3,000,” katanya ketika berucap di Majlis Anugerah Media PERKESO 2025 di Hotel Mandarin Oriental, di sini semalam.

Beliau turut memaklumkan bahawa perlindungan Skim Keilatan kini diperluaskan kepada pekerja migran untuk memastikan golongan tersebut menerima manfaat yang sama tanpa bergantung kepada dana awam apabila ditimpa musibah.

Selain itu, katanya, kerajaan akan mencadangkan dua reformasi baharu pada sistem sedia ada yang akan dibentangkan di Parlimen.

Jelasnya, langkah pertama adalah peluasan perlindungan 24 jam kepada pencarum PERKESO yang membolehkan mereka membuat tuntutan sekiranya berlaku kemalangan atau bencana di luar waktu kerja.

Selain itu, katanya, di bawah Skim Insurans Pekerjaan (EIS), kerajaan memperkenalkan Elaun Mobiliti RM1,000 bagi pencarum yang menerima pekerjaan baharu sejauh lebih 100 kilometer daripada kediaman asal.

“Usaha ini bukan sahaja memperkukuh keselamatan sosial, malah memperluas liputan kepada pekerja gig serta individu yang mencari pekerjaan baharu,” ujarnya beliau.

Dalam pada itu, Steven berkata, PERKESO kini mempunyai tiga pusat rehabilitasi masing-masing di Melaka, Ipoh dan Terengganu, manakala pusat keempat akan dibina di Pulau Pinang seperti diumumkan Perdana Menteri dalam Belanjawan 2026.

Dalam pada itu, sejak Februari lalu, 1,400 klinik panel PERKESO di seluruh negara menawarkan rawatan tanpa bayaran pendahuluan kepada pencarum, membolehkan pekerja berpendapatan rendah mendapatkan rawatan lebih cepat, ujarnya.

Sementara itu, Steven memberitahu, proses kelulusan bantuan dialisis kini hanya mengambil masa tujuh hari berbanding 40 hari sebelum ini.

“Surat jaminan hospital (GL) boleh diperoleh dalam tempoh 24 jam sahaja berbanding dahulu yang mengambil masa selama tiga hari.

“Kos bantuan subsidi dialisis turut dinaikkan daripada RM150 kepada RM170 bagi setiap sesi rawatan, bersamaan tambahan sekitar RM280 sebulan kepada penerima manfaat,” jelasnya.

Steven turut menyatakan bahawa melalui pelaksanaan Skim Perlindungan Kendiri di bawah Rang Undang-Undang Pekerja Gig, golongan seperti pengamal media sambilan juga akan mendapat perlindungan meskipun belum mencarum sepenuhnya.

“Semua langkah ini membuktikan bahawa agenda kebajikan pekerja bukan lagi bersifat terhad, tetapi merangkumi semua lapisan masyarakat,” katanya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast