Gambar hiasan Bus.My

KUANTAN – Perkhidmatan bas henti-henti di Kuantan akan diambil alih oleh Sanwa Tours (M) Sdn Bhd (Sanwa Tours) bagi menggantikan perkhidmatran bas Rapid Kuantan bermula 15 Disember depan.

Operasi perkhidmatan bas Rapid Kuantan yang dikendalikan Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) akan ditamatkan sepenuhnya setelah berkhidmat sejak November 2012.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus, Ku Jamil Zakaria berkata, pihaknya berharap orang ramai akan terus menyokong dan menggunakan perkhidmatan Bas.My Kuantan di bawah kendalian Sanwa Tours.

“Kami amat menghargai setiap penumpang yang telah bersama Rapid Kuantan sejak 2012.

“Dukungan masyarakat setempat menjadi semangat kami untuk terus memperkukuh sistem pengangkutan awam di Malaysia,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Sepanjang tempoh perkhidmatannya, Rapid Kuantan membawa lebih 28 juta penumpang, dengan purata kira-kira 6,000 penumpang setiap hari, dan pernah mencatat purata harian tertinggi melebihi 15,000 penumpang.

Dalam pada itu, Rapid Bus merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Negeri Pahang, pihak berkuasa tempatan, rakan strategik serta seluruh warga Kuantan atas sokongan yang tidak berbelah bahagi sejak penubuhan Rapid Kuantan.

Rapid Bus turut menzahirkan penghargaan atas sokongan dan kepercayaan yang diberikan sepanjang tempoh perkhidmatan, dan berharap agar orang ramai akan terus memilih pengangkutan awam sebagai cara hidup yang lestari.

Bermula 15 Disember 2025, sebarang pertanyaan berkaitan operasi dan jadual perkhidmatan Bas.My Kuantan boleh dikemukakan terus kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) melalui e- mel [email protected] atau talian 03-2603 6700. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast