Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr. Asmadi Abdul Rahman (kiri meninjau keadaan rumah Roslina Mohd Deros yang dihempap pokok tumbang dalam kejadian Jumaat minggu lepas

KUANTAN – Enam sekeluarga di Bukti Beirut, di sini menarik nafas lega apabila atap rumah mereka yang musnah akibat dihempap pokok tumbang kira-kira seminggu lalu akan dibaiki tidak lama lagi.

Menurut Roslina Mohd Deros, 57, mereka sekeluarga kini terpaksa menumpang di rumah saudara mara terdekat buat sementara waktu selepas bumbung rumah pusaka keluarga itu musnah sepenuhnya dan tidak boleh didiami.

Ketika menceritakan detik-detik kejadian yang menakutkan pada hari Jumaat itu, Roslina berkata, semasa itu dia dan kakak kedua sedang duduk di ruang tamu rumah sambil melipat kain.

Dia yang juga seorang ibu tunggal berkata, tiba-tiba bunyi berdentum kuat sesuatu jatuh atas bumbung.

“Syiling rumah semua pecah, kayu, anak pokok semua masuk. Masa tu air hujan masuk dan kami sedar pokok tumbang atas bumbung. Terus minta kakak kedua tu angkat kakak sulung supaya bawa keluar,” katanya yang menyifatkan kejadian seumpama itu pertama kali berlaku sepanjang 40 tahun tinggal di situ.

Roslina Mohd Deros

 

Roslina menjelaskan, kakak sulungnya, Rositah Mohd Deros, 62 hanya terlantar dan tidak mampu bergerak selepas menghidap strok sejak dua tahun lepas.

Disebabkan itu, mereka terpaksa mengangkat keluar kakaknya tu kerana khuatir rumah tersebut roboh akibat dihempap pokok tumbang.

Roslina yang ditemui MalaysiaGazette hari ini meluahkan rasa syukur kerana pihak Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) hadir hari ini ke rumahnya untuk memberikan komitmen membantunya sekeluarga.

Menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr. Asmadi Abdul Rahman, peruntukan sejumlah RM20,000 akan disalurkan bagi tujuan membaikpulih bumbung rumah berkenaan.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr. Asmadi Abdul Rahman

“Kita dapati hampir keseluruhan bumbung rumah rosak dan tidak boleh diduduki sebab air akan masuk. Jadi, pihak MUIP sedaya upaya dengan pihak JKKK akan segerakan proses membantu dari segi gotong royong untuk siapkan baik pulih segera bumbung.

“Semoga mereka sekeluarga dapat duduk kembali di sini.Hari ini mereka akan berpindah ke rumah anak saudara mereka di Bukit Astana untuk seketika daa insya Allah kalau cuaca baik, kita harap dapat disiapkan dalam masa 10 hari,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast