ROMPIN – Sanwa Tours (M) Sdn Bhd (Sanwa Tours) hari ini melancarkan lima buah bas baharu dilengkapi sistem keselamatan terkini iaitu Advance Driver Assistance System (ADAS) dan Driver Monitoring System (DMS).
Kedua-dua sistem itu antara teknologi moden yang digunakan di seluruh dunia bagi mengurangkan risiko kemalangan, meningkatkan prestasi pemanduan dan pemantauan keselamatan secara langsung di atas jalan raya.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Ir. Razali Kassim berkata, inisiatif syarikat itu sejajar dengan aspirasi kerajaan negeri dan Kementerian Pengangkutan dalam memperkukuh keselamatan pengangkutan awam negara.
“Saya dimaklumkan syarikat Sanwa juga dalam perancangan untuk menambah 25 buah bas baharu lagi secara berperingkat bermula tahun hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Bas Baharu Sanwa Tours (M) Sdn Bhd di Terminal Sentral Muadzam Shah, di sini hari ini.
Majlis turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah Operasi, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Masita Mat Isa; Pengarah Urusan Sanwa Tours (M) Sdn Bhd, Sathies a/l Supramanian dan Ketua Pegawai Eksekutif Sanwa Tours, Zaid Sabit.
Sementara itu, Pengarah Urusan Sanwa Tours, Sathies a/l Supramanian memaklumkan syarikat itu akan menggantikan bas sedia ada dengan bas baharu berteknologi tinggi itu secara berperingkat.
“Bas Sanwa telah membawa jutaan pelancong ke Pulau Tioman sejak tahun 2017, sekali gus menjana pendapatan kepada negeri Pahang lebih RM1.5 juta.
“Disebabkan itu, selepas 10 tahun beroperasi ni, kami menambah baik mutu perkhidmatan bagi bas kami ke arah lebih moden dan lebih selamat,” katanya lagi.
Syarikat bas ini juga akan mengendalikan perkhidmatan bas henti-henti di Kuantan menggantikan bas Rapid Kuantan bermula 15 Disember depan. – MalaysiaGazette
















