Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang.

PUTRAJAYA – Kerjasama strategik Malaysia-China dalam bidang sains, teknologi dan inovasi (STI) semakin berkembang pesat apabila tujuh universiti awam dan swasta menjalin kerjasama dengan lapan institusi republik itu melibatkan lapan projek penyelidikan bersama.

Ia merangkumi Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM),  Universiti Teknologi PETRONAS (UTP), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan Universiti Multimedia (MMU).

Lapan institusi di China yang terlibat ialah Shandong University, Dalian University of Technology, Fudan University, Central South University, Abogen Biosciences, Guilin University of Electronic Technology, Chinese Academy of Sciences dan Nanjing University.

Menurut kenyataan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), bidang penyelidikan itu ialah Teknologi Penyimpanan Tenaga (Energy Storage): Vaksin Manusia; Teknologi Angkasa;  Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence); Teknologi Rantaian Blok (Blockchain); dan Teknologi Bahan Termaju (Advance Material).

Komitmen kedua-dua negara itu direalisasikan melalui Majlis Penyerahan Surat Tawaran dan Cek Replika bagi Projek Kerjasama Penyelidikan Malaysia-China 2025 yang diadakan di MOSTI di sini hari ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang ketika berucap pada majls itu berkata, peristiwa tersebut melangkaui penyerahan dana secara simbolik.

Menurut beliau, kerjasama yang berkekalan antara MOSTI dan Kementerian Sains dan Teknologi (MOST) China telah lama kukuh.

Ujarnya, perjalanan perkongsian itu semakin ketara pada tahun 2013 apabila kedua-dua pihak merasmikan perjanjian kerjasama dua hala dalam bidang STI.

Kata Lih Kang, beliau mengadakan lawatan kerja rasminya ke Republik Rakyat China dari 23 hingga 27 April 2024, serentak dengan The 3rd Joint Committee Meeting (JCM) Sains, Teknologi dan Inovasi (STI).

“Saya diberi penghormatan untuk mempengerusikan secara bersama dengan Menteri MOST China dan telah mencapai kata sepakat ntuk bersama-sama menaja jamin projek penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang merangkumi enam projek penting,” ujarnya.

Menurut beliau, inisiatif strategik itu telah membuka jalan yang luas dan menjanjikan untuk pertukaran pengetahuan yang tidak ternilai, perkongsian teknologi, dan kemajuan kepakaran di kalangan penyelidik dari kedua-dua negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast