Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Chang Lih Kang dan Kaunselor untuk sains, Kedutaan China, Dr. Zhao Xiangdong bergambar bersama wakil penerima Surat Tawaran Projek Kerjasama Penyelidikan Malaysia-China di MOSTI, Putrajaya. Foto AIZAT ZAINAL, 14 NOVEMBER 2025.

KUALA LUMPUR – Sebanyak lapan projek penyelidikan bernilai RM10.47 juta telah diluluskan di bawah Program Dana Penyelidikan Strategik (SRF) Malaysia–China 2025 secara Request for Proposal (RFP) bagi tahun 2025.

Penerima-penerima dana tersebut ialah Dr. Saw Shier Nee (Universiti Malaya (UM); Prof. Dr. Mohd Cairul Iqbal Mohd Amin dan Dr. Fazren Azmi (Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Dr. Chua Yong Shen (Universiti Sains Malaysia (USM).

Selain itu, Prof. Madya Ts. Dr. Nik Ahmad Nizam Nik Malek (Universiti Teknologi Malaysia (UTM); Prof. Dato Ts. Dr. Kamaruzzaman Sopian (Universiti Teknologi Petronas (UTP), Prof. Ir. Ts. Dr. Kamarul Hawari Ghazali (Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA); dan Prof. Ir. Dr. Koo Voon Chet (Universiti Multimedia (MMU).

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi UKM, Prof Dr Jamia Azdina Jamal (kiri) bergambar bersama Fakulti Farmasi UKM, Professor Dr Mohd Cairul Iqbal Mohd Amin (dua kiri), Fakulti Farmasi UKM, Prof Madya Dr Fazren Azmi (dua kanan), Timbalan Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Instrumentasi, Prof Dr. Mohd Ambri Mohamed pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran Projek Kerjasama Penyelidikan Malaysia-China di MOSTI, Putrajaya. Foto AIZAT ZAINAL, 14 NOVEMBER 2025.

Program ini merupakan pencapaian penting dalam Kerjasama strategik antara Malaysia dan China dalam bidang Sains, Teknologi dan Inovasi (STI).

Penyerahan Surat Tawaran bagi Dana Penyelidikan Kerjasama Strategik Malaysia–China 2025, yang disempurnakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang.

Dana ini merupakan sebahagian daripada komitmen bersama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Ministry of Science and Technology (MOST) China, yang turut menyediakan pembiayaan sebanyak RMB2.5 juta (anggaran RM1.6 juta) bagi menyokong enam bidang keutamaan penyelidikan strategik.

Penyelidikan-penyelidikan tersebut meliputi Teknologi Penyimpanan Tenaga; Vaksin Manusia; Teknologi Angkasa; Kecerdasan Buatan; Teknologi Rantaian Blok (Blockchain); dan Teknologi Bahan Termaju.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Chang Lih Kang bercakap pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran Projek Kerjasama Penyelidikan Malaysia-China di MOSTI, Putrajaya. Foto AIZAT ZAINAL, 14 NOVEMBER 2025.

Kerjasama ini mencerminkan keyakinan antarabangsa terhadap keupayaan saintis Malaysia dan berpotensi memperkukuh ekosistem penyelidikan serta inovasi negara melalui pertukaran ilmu, kepakaran dan teknologi antara dua negara.

“Inisiatif bersama ini bukan sekadar simbolik penyerahan dana, tetapi lambang kesungguhan Malaysia memperkukuh daya saing penyelidikan dan inovasi melalui kolaborasi antarabangsa.

“Saya yakin ia akan membuka peluang luas kepada penyelidik untuk melaksanakan penyelidikan berimpak tinggi yang memberi manfaat langsung kepada masyarakat dan industri,” katanya pada majlis penyerahan dana penyelidikan itu di MOSTI.

Lih Kang turut menzahirkan penghargaan kepada MOST China atas komitmen dan sokongan terhadap kerjasama ini, sambil menegaskan usaha tersebut seiring dengan aspirasi Malaysia Madani dalam memacu negara berteraskan STI.

Tambah beliau, MOSTI akan terus memperkukuh ekosistem STI melalui program pembiayaan R&D yang berfokus, pemindahan teknologi, dan pembangunan penyelidik muda bagi memastikan Malaysia kekal sebagai negara berdaya saing dan berinovasi tinggi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast