Zaliha (tengah) menyaksikan majlis serah tugas antara Datuk Fadlun Mak Ujud dan Datuk Mohd Sakeri Abdul Kadir di pejabat beliau. Gambar: Facebook Zaliha Mustafa

KUALA LUMPUR – Pelantikan Datuk Mohd Sakeri Abdul Kadir sebagai Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) ke-8 dijangka memberi suntikan kepimpinan yang mantap dalam menerajui pembangunan bandar pusat pentadbiran itu berikutan pengalaman luas dimiliki beliau.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, ketokohan dan pengalaman Mohd Sakeri mampu memperkukuh hala tuju pembangunan Putrajaya.

“Insya-Allah, beliau akan menerajui Perbadanan Putrajaya dengan cekap, berintegriti dan visi yang jelas,” katanya menerusi hantaran Facebook beliau, hari ini.

Pelantikan Mohd Sakeri adalah bagi mengisi tempat Datuk Fadlun Mak Ujud yang bakal menyandang jawatan Datuk Bandar Kuala Lumpur menggantikan Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif.

Zaliha menegaskan bahawa, pembangunan bandar akan terus dipacu selaras visi Bandar CHASE termasuk peningkatan kualiti penyelenggaraan bandar, pendigitalan perkhidmatan perbandaran, pengukuhan mobiliti hijau serta pembinaan komuniti inklusif.

Tambahnya, perancangan jangka panjang Putrajaya juga akan berpandukan nilai Malaysia Madani dan rangka kerja Rancangan Struktur Putrajaya 2050 (RSP50).

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Fadlun atas sumbangan beliau sejak memimpin PPj pada 2022, khususnya dalam memartabatkan Putrajaya sebagai bandar pentadbiran moden melalui pengukuhan inisiatif bandar pintar, pengurusan hijau dan kemudahan komuniti.

Mohd Sakeri, 56, berkelulusan Sarjana Muda Sastera dari Temple Universiti Amerika Syarikat dan Sarjana Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM).

Beliau berpengalaman luas dalam perkhidmatan awam dan kepimpinan strategik merangkumi pelbagai portfolio penting dalam bidang pembangunan di peringkat nasional.

Jawatan terakhir Mohd Sakeri sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar & Pembangunan) di Kementerian Kerja Raya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast