Gambar : IPD Temerloh

TEMERLOH – Seorang pekerja penghantar kelapa sawit ditahan kerana memiliki pelbagai jenis dadah seberat hampir 300 gram di sini, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron berkata, lelaki berusia 45 tahun itu ditahan menerusi serbuan ke sebuah rumah di Kampung Rumpun Makmur, Kuala Krau, di sini kira-kira jam 2.15 pagi semalam.

“Ketika pemeriksaan mendapati, suspek tinggal di rumah itu bersama isteri dan empat orang anak.

“Anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh menemui sebuah beg di bahagian dalam papan pemuka (dashboard) kereta milik suspek yang mengandungi paket-paket plastik disyaki berisi bahan dadah jenis heroin, syabu dan pil yaba,” katanya dalam kenyataan.

Beliau memakluman bahawa siasatan awal mendapati, peket-peket plastik itu mengandungi dadah jenis heroin seberat 107.16 gram, syabu seberat 116.55 gram dan pil yaba seberat 36.45 gram dengan anggaran nilai keseluruhan RM16,000.00.

Katanya, suspek yang mempunyai tujuh rekod jenayah lampau berkaitan dadah kini direman selama tujuh hari sehingga 20 November ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15 (1) (a) ADB 1952. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast