BUTTERWORTH – Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditungganginya terbabas sebelum dia tercampak ke dalam longkang di Jalan Siram, Kampung Siram di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 4 pagi, Mangsa, R. Kishore Kumar, 36, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada anggota badan.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Butterworth, Rithuwan Nordi Md Ashari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.06 pagi dan tiba di lokasi sembilan minit kemudian.
“Kejadian membabitkan sebuah motosikal Honda RS150 yang dipercayai terbabas di bahu jalan sebelum mangsa tercampak ke dalam longkang sedalam dua meter.
“Kerja-kerja mengeluarkan mangsa dilakukan sebaik ketibaan pasukan dan mangsa berjaya dibawa keluar pada jam 4.44 pagi,” katanya hari ini.
Tambah beliau, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – MalaysiaGazette















