Pejabat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

KUALA LUMPUR – Kementerin Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan menggunakan kaedah manual bagi penentuan unit rumah untuk penempatan semula Projek Perumahan Rakyat (PPR) Ampar Tenang dibangunkan bagi menempatkan semula penduduk RKR Taman Permata.

Menurut KPKT, kaedah undian manual akan digunakan bagi memastikan peluang sama rata kepada semua peserta.

Peserta akan mencabut nombor unit rumah masing-masing secara terbuka semasa majlis penyerahan surat tawaran, disaksikan oleh semua hadirin bagi menjamin ketelusan proses.

“Kaedah undian ini turut digunakan di semua PPR seliaan Jabatan Perumahan Negara (JPN) dan diteruskan pelaksanaannya di PPR Ampar Tenang. Justeru, isu pilih kasih atau keistimewaan untuk mendapatkan lot tepi tidak timbul dalam proses pemilihan unit rumah.

“Proses ini mencerminkan komitmen berterusan KPKT dalam memastikan pemilihan peserta dilaksanakan secara telus, adil dan berintegriti. Dengan penyediaan perumahan berkualiti dan lestari selaras dengan aspirasi Malaysia Madani, KPKT terus berusaha meningkatkan taraf hidup rakyat serta mengekalkan rakyat sebagai teras utama pembangunan negara,” katanya.

Projek PPR Ampar Tenang merupakan penempatan semula bagi pekerja-pekerja Ladang Perang Besar, Medingly, Galloway dan Sedgely bagi memberi laluan kepada pembangunan Putrajaya.

Setelah sekian lama mendiami RKR tersebut, penduduk perlu dipindahkan ke suatu kawasan penempatan yang baharu berikutan isu keretakan serius pada struktur bangunan yang telah disahkan tidak selamat untuk didiami.

Pemilihan lokasi di kawasan Ampar Tenang, Dengkil ini merupakan projek hasil kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor bagi memastikan keselamatan serta kesejahteraan penduduk terus terpelihara dan terbela.

KPKT berkata, dengan keluasan tanah 30 ekar yang disumbangkan oleh Kerajaan Negeri Selangor dan kos pembangunan sebanyak RM88 juta yang ditanggung oleh Kerajaan Persekutuan, PPR Ampar Tenang telah siap sepenuhnya dan sedia didiami mulai tahun 2025.

PPR Ampar Tenang, Dengkil ini merupakan unit teres kos rendah satu tingkat dengan harga jualan ditetapkan sebanyak RM20,000 seunit mengambil kira Harga pembelian RKR Taman Permata, Dengkil.

Berdasarkan keputusan kerajaan pada 12 Oktober 2016, peserta perlu menyelesaikan bayaran RM20,000 bagi rumah asal RKR Taman Permata sebelum layak ditawarkan unit di PPR Ampar Tenang.

Peserta juga tertakluk kepada moratorium pemilikan selama 10 tahun, yang mana sebarang pindah milik unit tidak dibenarkan bagi mengelakkan manipulasi harga.

Para peserta diberikan tiga kaedah pelupusan RKR Taman Permata iaitu:
1) Bagi penduduk yang telah membayar sepenuhnya harga rumah RKR Taman Permata, mereka akan ditawarkan unit rumah baharu tanpa membuat
sebarang bayaran tambahan;
2) Bagi penduduk yang masih belum membayar sepenuhnya harga rumah RKR Taman Permata, mereka perlu membayar baki bayaran sepenuhnya sebelum
ditawarkan rumah Baharu tanpa membuat bayaran tambahan; dan
3) Bagi penduduk yang masih belum membuat apa-apa bayaran unit rumah RKR Taman Permata, mereka akan ditawarkan dengan harga jualan RM20,000
seunit.

Menurutnya, fasa pertama penempatan melibatkan 161 peserta telah dilaksanakan pada 6 Oktober 2025.

Senarai peserta terpilih terdiri daripada pemilik asal RKR Taman Permata yang telah disahkan pemilikannya oleh Permodalan Negeri Selangor Berhad
(PNSB). Pengisian seterusnya akan dijalankan secara berperingkat selepas urusan pengesahan nama selesai oleh pihak PNSB. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast