GEORGE TOWN – Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis berhubung siasatan kemalangan maut melibatkan remaja lelaki berusia 17 tahun dengan sebuah bas Rapid Penang di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu di sini, pada Khamis lalu.
Rapid Bus dalam kenyataan memaklumkan insiden pada 11 pagi itu menyaksikan mangsa meninggal dunia setelah melanggar bahagian sisi kanan bas Rapid Penang laluan 303.
“Pihak Rapid Bus telah mengunjungi keluarga mangsa bagi merakamkan ucapan takziah dan simpati atas kehilangan yang dialami.
“Kami juga telah menyerahkan rakaman CCTV insiden tersebut kepada pihak berkuasa untuk membantu siasatan.
“Kami komited menunggu hasil siasatan polis dan sebarang penilaian awal mengenai punca kejadian adalah pramatang sehingga siasatan selesai,” menurut kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, keselamatan penumpang dan pengguna jalan raya sentiasa menjadi keutamaan dalam operasi harian Rapid Bus dan semua tindakan susulan akan dibuat berdasarkan fakta yang disahkan pihak berkuasa.
Media pada Khamis melaporkan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun maut selepas motosikal ditunggangnya terlanggar sebuah bas ketika mangsa dalam perjalanan dari Gat Lebuh Macallum menuju ke rumahnya di Summer Place, Persiaran Karpal Singh. – MalaysiaGazette
















