Donald Trump

KUALA LUMPUR – Presiden Donald Trump tetap akan menyaman BBC sehingga AS$5 bilion, selepas syarikat penyiaran British itu memohon maaf.

“Kami akan menyaman mereka antara satu bilion dan lima bilion dolar, mungkin suatu masa nanti dalam minggu depan. Saya rasa saya perlu melakukannya.

“Mereka juga telah mengakui mereka menipu,” kata Trump kepada pemberita dalam penerbangan Air Force One.

Trump sebelum ini berkata, beliau akan menyaman BBC sebanyak $1 bilion –  satu jumlah yang besar,  mewakili 13 peratus daripada pendapatan tahunan organisasi itu. Pendapatan itu sebahagian besar dibiayai oleh yuran lesen yang dibayar oleh orang awam Britain.

BBC dikatakan berada dalam keadaan huru-hara sejak klip suntingan daripada program berita utamanya “Panorama” yang disiarkan sebelum pilihan raya presiden 2024 muncul semula minggu lalu.

Pada hari Isnin, BBC memohon maaf kerana memberikan gambaran dalam dokumentari itu bahawa Trump secara langsung menggesa “tindakan ganas” sebelum serangan ke atas Capitol oleh penyokongnya pada 6 Januari 2021.

“Rakyat UK sangat marah dengan apa yang berlaku, seperti yang anda boleh bayangkan, kerana ia menunjukkan BBC adalah berita palsu,” kata Trump pada hari Jumaat.

Trump berkata, beliau merancang untuk membangkitkan isu itu dengan Perdana Menteri Britain Keir Starmer, yang telah menyokong kebebasan penyiar itu dan mengelak memihak kepada Trump.

“Saya akan menghubunginya pada hujung minggu. Dia sebenarnya menghubungi saya. Dia sangat malu,” kata Trump.

Bagaimanapun, BBC berkata, ia tidak akan membayar ganti rugi atas suntingan ucapan yang mengelirukan.

Malah, BBC juga menolak dakwaan fitnah undang-undang terhadap Trump.

Peguam Trump menghantar surat kepada BBC pada hari Isnin menuduh penyiar itu memfitnah presiden dan memberikannya masa sehingga Jumaat untuk memohon maaf dan membayar pampasan.

BBC pada hari Khamis memaklumkan, pengerusinya Samir Shah telah menghantar “surat peribadi kepada White House yang menjelaskan kepada Presiden Trump bahawa beliau dan perbadanan itu memohon maaf atas suntingan ucapan presiden”

Bagaimanapun, ia menambah: “Walaupun BBC benar-benar kesal dengan cara klip video itu disunting, kami sangat tidak bersetuju bahawa terdapat asas untuk dakwaan fitnah.”

Di Britain, kontroversi itu telah mencetuskan semula perdebatan hangat mengenai operasi dan kesaksamaan penyiaran awam, memandangkan organisasi itu goyah sejak kebelakangan ini oleh beberapa skandal.

Pertikaian penyuntingan itu berlaku pada masa yang sensitif secara politik bagi BBC, yang akan merundingkan semula Piagam Diraja yang menggariskan tadbir urus syarikat itu. Piagam semasanya akan berakhir pada tahun 2027.

Kekecohan mengenai suntingan video telah menyebabkan Ketu Pengarah BBC dan eksekutif berita tertinggi organisasi itu meletak jawatan.

BBC telah mengesahkan ia juga sedang menyiasat satu lagi suntingan ucapan Trump dari hari rusuhan di ibu negara, yang dilaporkan oleh akhbar Telegraph telah disiarkan pada Jun 2022 dalam program “Newsnight” BBC.

Dalam temu bual dengan siaran saluran UK GB News pada hari Jumaat, Trump sekali lagi berkata, beliau mempunyai kewajipan untuk meneruskan tindakan undang-undang.

“Ini sangat keterlaluan. Jika anda tidak melakukannya, anda tidak akan menghalangnya daripada berlaku lagi dengan orang lain,” katanya mengenai suntingan video itu. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast