KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) akan bertanding di 25 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick berkata, beliau sendiri akan mempertahankan kerusi DUN Kadamaian dan akan mengetuai barisan calon UPKO.
“Saya akan memimpin calon-calon UPKO ini untuk memperjuangkan manifesto dan agenda ‘Sabah First’ sepertimana dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan hak-hak Sabah dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Saya juga akan memimpin calon-calon UPKO ini menawarkan kepimpinan berprinsip dengan tanda aras serta petunjuk prestasi kepada setiap mereka agar sentiasa melakukan yang terbaik untuk rakyat Sabah.
“Saya juga akan memimpin calon-calon ini untuk memperjuangkan pelaksanaan hak 40 peratus Sabah kerana dengan pembayaran semula hasil kita tersebut, kita boleh gunakan untuk membangunkan infastruktur dan ameniti, membangunkan ekonomi dan keusahawanan, membasmi kemiskinan dan mensejahterakan rakyat Sabah dengan lebih berkesan,” katanya seperti dilaporkan.
Ewon menyeru pengundi untuk bersama agenda #SabahFirst sebagai asas perjuangan parti pada pilihan raya kali ini.
“Saya dan semua calon-calon UPKO ini memohon sokongan seluruh rakyat Sabah,” katanya. – MalaysiaGazette
















