TEMERLOH – Seorang lelaki dicekup bersama 19 bungkusan air ketum menerusi serbuan di sebuah rumah sewa di Kampung Peragap, Kerdau, di sini awal pagi semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron, serbuan dijalankan kira-kira pukul 1 pagi oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh.
“Dalam serbuan hasil risikan dan maklumat itu, polis berjaya menangkap lelaki berumur lingkungan umur 30-an dan menemui 19 bungkusan plastik berikat gelang getah disyaki berisi air ketum.
“Soal siasat awal mendapati, suspek mengaku bahawa bekalan air ketum itu adalah dari rebusan sendiri untuk diedarkan kepada pembeli,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Nasyim berkata, suspek dipercayai menjual kira-kira 100 bungkus air ketum rebusannya itu setiap hari sepanjang menjalankan kegiatan itu.
Katanya, suspek berjaya memperoleh anggaran kasar RM1,000 pendapatan harian selepas menjual air ketum itu dengan nilai RM10 sebungkus.
“Suspek kini ditahan untuk disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















