KUANTAN – Ibu kepada bayi kembar empat rasa terharu apabila anak-anaknya mendapat perhatian kerajaan negeri dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Bagi Erma Fatiha Aini Annuar Khairi, beliau sekeluarga mendapat bantuan daripada Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Ir. Razali Kassim itu bermula sejak dirinya berpantang sehingga kini.
Ibu berusia 26 tahun itu berkata, mendapat kembar empat tidak semudah disangka kerana banyak cabarannya dari segi mental, fizikal termasuk ekonomi.
”Saya ingat lagi, orang pertama yang menziarahi sewaktu berpantang adalah Datuk Ir. Razali dan pembantunya. Selepas itu, mereka sentiasa follow up perkembangan kami. Bila kerajaan negeri yang membantu, Allahu Akbar, saya tak sangka sangat.
”Yang lagi membuat saya terharu, nampak keikhlasan ADUN Muadzam Shah ini bersungguh-sungguh mahu membantu. Mereka sangat sibuk tetapi sentiasa peka mengikuti perkembangan kembar empat dan prosesnya pula sangat cepat.
”Baru-baru ini, anak-anak semuanya berjangkit sakit mata. Datuk Ir. Razali sanggup menanggung risiko untuk menyampaikan bantuan ini. Sejujurnya, saya tak mampu membalas jasa-jasa ini,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Bayi kembar empat mereka, Nur Syah Elvina, Nur Syah Ermina, Nur Syah Erdina, Nur Syah Elnaura kini berusia empat bulan itu dilahirkan pada 19 Jun 2025 lalu.
Menurut Erma Fatiha, pemberian sumbangan kerajaan negeri meringankan beban kos tanggungan mereka sekeluarga.
Ia dibantu dengan pengurusan serta kelulusan bantuan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada anak-anaknya menerusi Skim bantuan Persekutuan (Bantuan Kanak-Kanak) yang ditanggung bermula Oktober 2025 ini sehingga Disember 2026.
”Kami sekeluarga amat menghargai bantuan JKM, apabila kami susah, kami terpaksa menyusahkan keluarga terdekat. Menunggu gaji pula berbulan-bulan, cukup sekadar untuk membuat bayaran bulanan kereta sahaja.
”Dengan bantuan JKM ini, syukur alhamdulillah, dapat juga kami menambah kos-kos yang diperlukan untuk kembar empat,” tambahnya.
Jelasnya jika dahulu beliau boleh mencari pendapatan tambahan namun dengan keadaan sekarang keadaannya agak terbatas. – MalaysiaGazette
















