KUALA LUMPUR – Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mengingatkan semua calon Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17) Sabah supaya berkempen dengan penuh tanggungjawab serta menghormati prinsip demokrasi yang adil dan matang.
Jawatankuasa Pemandu Bersih dalam satu kenyataan menegaskan, politik wang adalah satu jenayah pilihan raya dan mesti ditolak oleh semua calon serta rakyat.
Menurutnya, pemberian wang tunai, barangan, penajaan majlis atau apa-apa bentuk habuan adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 berhubung rasuah dan beli undi, serta Seksyen 8 yang melibatkan penjamuan dan pemberian hadiah.
Tambahnya, amalan politik wang bukan sahaja menyalahi undang-undang tetapi merosakkan asas demokrasi kerana ia menukar pilihan rakyat kepada satu transaksi semata-mata.
“Rakyat Sabah perlu menolak politik wang kerana masa depan negeri ini bergantung pada pemilihan pemimpin yang benar-benar berintegriti, berkeupayaan dan mempunyai visi jangka panjang.
“Apabila politik wang dibiarkan berleluasa, ia membuka ruang kepada pemimpin yang hanya menjaga kepentingan diri, dan mengabaikan dasar-dasar yang mampu membawa kemajuan sebenar kepada rakyat,” katanya.
PRN-17 Sabah bermula semalam selepas proses penamaan calon menyaksikan seramai 596 calon yang mewakili pelbagai parti disahkan layak bertanding.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun berkata, kesemua calon tersebut akan bertanding di 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 29 November ini.
Sementara itu, Bersih berkata, pihaknya turut menggerakkan seramai 70 orang Pemantau di 23 kawasan Parlimen untuk memastikan proses PRN-17 Sabah dipantau secara bebas, objektif dan berintegriti.
Tambahnya, Sabah memerlukan pemimpin yang hadir bukan kerana habuan yang diberikan, tetapi kerana tanggungjawab dan komitmen untuk memperbaiki kehidupan rakyat serta membangunkan negeri itu secara mapan.
Dalam masa sama, Bersih menyeru rakyat Sabah untuk memainkan peranan aktif dalam mempertahankan integriti pilihan raya.
“Jika terdapat sebarang salah laku termasuk politik wang, ugutan, penyalahgunaan jentera kerajaan atau pelanggaran peraturan pilihan raya, orang ramai digalakkan membuat laporan melalui laman web www.pemantau.org.
“Suara dan tindakan rakyat amat penting untuk memastikan proses pilihan raya yang benar-benar bersih, adil dan bermaruah dapat dicapai,” katanya. – MalaysiaGazette
















