TANGKAP layar video yang tular berkenaan kejadian bumbung KLIA yang bocor pada Jumaat lalu. - Sumber MEDIA SOSIAL

KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menyifatkan insiden kebocoran di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bukan sekadar masalah atau kecuaian teknikal.

Sebaliknya, Presiden MCW, Jais Abdul Karim berkata, ia merupakan red flag tentang tata kelola penyelenggaraan yang perlu diperbaiki segera.

Menurut beliau, integriti dalam pengurusan aset negara perlu bermula dengan disiplin penyelenggaraan, ketelusan kontrak dan pengawasan oleh pihak berwajib yang berkesan.

“Dalam projek kritikal seperti KLIA, setiap kerja baik pulih mesti diselia oleh jurutera tapak, pegawai pengawasan dan sistem kawal selia yang ketat.

“Jika kesilapan kontraktor pun tidak dapat dikesan atau dicegah, ini menunjukkan wujud kegagalan pengawasan (supervisory failure) dan jurang dalam kawalan kualiti oleh pihak Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB),” katanya dalam satu kenyataan.

kenderaan kerajaan Malaysia CPI budaya politik imigresen sempadan rakyat rasuah
Jais Abdul Karim

Terdahulu, tular beberapa rakaman video di media sosial daripada orang awam mengenai kebocoran bumbung di terminal penumpang KLIA dalam kejadian Jumaat lalu.

MAHB dalam satu kenyataan memaklumkan, kegagalan kontraktor mengalihkan penutup papan lapis yang merupakan prosedur wajib dikenal pasti sebagai punca insiden tersebut.

Menurut MAHB, kesilapan itu dianggap satu bentuk kelalaian yang tidak boleh diterima serta tidak memenuhi piawaian kerja yang ditetapkan untuk projek infrastruktur kritikal lapangan terbang.

Sementara itu, Jais mempersoalkan bagaimana struktur bumbung KLIA tersebut boleh dibiarkan sehingga ke tahap memerlukan kerja baik pulih besar-besaran yang membawa kepada kegagalan oleh pihak kontraktor.

Ujarnya, insiden sebegitu menunjukkan Malaysia tidak mempunyai budaya penyelenggaraan yang berdisiplin pada aset strategik negara.

“Selepas isu kegagalan aerotrain, insiden kebocoran besar pula berlaku.

“Dua kegagalan berturut-turut di lapangan terbang utama negara menunjukkan kelemahan pengurusan projek, kelemahan integriti penyenggaraan, kelemahan ketelusan dalam proses tender dan kontraktor.

“KLIA adalah pintu masuk negara. Setiap kelemahan teknikal memberi implikasi kepada persepsi pelancong, pelabur dan dunia,” katanya.

Dalam masa sama, tambah Jais, MCW menuntut MAHB mendedahkan segera nama kontraktor dan subkontraktor terlibat; nilai kontrak dan skop kerja berhubung insiden kebocoran tersebut

Selain itu, MAHB juga perlu mendedahkan prosedur operasi standard (SOP) pengawasan ketika kerja penyelenggaraan dijalankan, laporan audit teknikal sebelum kerja bermula serta pelan tindakan bagi mencegah kegagalan berulang.

“Rakyat berhak mengetahui bagaimana kesilapan sebesar ini boleh berlaku di lokasi bertaraf antarabangsa.

“MCW akan terus memantau perkembangan dan sedia mengadakan sesi libat urus dengan MAHB demi memastikan piawaian integriti dan penyelenggaraan dipertingkatkan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast